
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Keputusan tersebut membolehkan PN bertanding pada PRN Melaka pada 14 November depan menggunakan nama dan lambang gabungan berkenaan.
Penangguhan sehingga kes selesai
Hakim Azizan Arshad berkata penangguhan itu berkuat kuasa sehingga permohonan semakan kehakiman PN terhadap keputusan JPPM diputuskan sepenuhnya.
“Permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan dibenarkan sehingga selesai sepenuhnya pendengaran kes, tanpa perintah mengenai kos,” katanya.
Menurut hakim, terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan penangguhan itu, termasuk kedudukan politik pemohon serta kesannya terhadap hak mereka sebagai wakil rakyat atau kerajaan negeri.
“Mahkamah mendapati tiada sebarang prejudis sekiranya penggantungan ini dibenarkan kerana pengawasan berterusan terhadap aktiviti politik PN masih lagi boleh dipantau secara berterusan.
“Boleh dikuatkuasakan sekiranya berlaku apa-apa aktiviti politik bertentangan dengan perundangan negara,” katanya.
Hujah kedua-dua pihak
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan berhujah bahawa PN sepatutnya memfailkan permohonan semakan kehakiman baharu. Ini kerana ketika permohonan asal difailkan, JPPM belum membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Menurutnya, keadaan itu menjadikan permohonan asal PN tidak lagi mempunyai isu untuk diputuskan mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Azhar Azizan Harun berkata antara remedi yang dipohon dalam permohonan asal ialah perintah menghalang JPPM daripada membatalkan pendaftaran PN sementara menunggu keputusan semakan kehakiman.
Azhar turut berhujah bahawa pembatalan pendaftaran PN itu tidak sah di sisi undang-undang. Katanya, JPPM bertindak terlalu awal apabila membatalkan pendaftaran gabungan itu sebelum tamat tempoh yang ditetapkan dalam notis tunjuk sebab.
“Dalam tergesa-gesa mahu menghentikan prosiding ini, mereka sendiri melanggar tempoh 30 hari yang ditetapkan dalam notis.
“Pembatalan pendaftaran sepatutnya dibuat selepas tamat tempoh 30 hari daripada tarikh notis. Ini adalah kehendak undang-undang,” katanya.
Permohonan semakan kehakiman PN
Pada 5 Oktober, PN memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap JPPM, antaranya memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis 23 September yang menggantung aktiviti gabungan itu bagi tempoh tidak ditentukan.
PN turut mencabar notis tunjuk sebab bertarikh 22 September yang mengarahkan gabungan itu menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak sepatutnya dibatalkan.
Gabungan itu juga memohon pengisytiharan bahawa kedua-dua notis berkenaan terbatal, tidak sah dan tidak mempunyai kesan undang-undang.
Permohonan itu difailkan oleh setiausaha agung lima parti komponen PN, tidak termasuk Bersatu.
Pada 13 Oktober, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada PN untuk memulakan prosiding semakan kehakiman. Seminggu kemudian, JPPM membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.