
Kerajaan mungkin mengharamkan penggunaan Waze sepenuhnya jika aplikasi alternatif mempunyai keupayaan memadai, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan akan menilai keupayaan aplikasi alternatif terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya.
“Kalau dah esok kita tengok keupayaan kita cukup baik, maka kita mungkin… kemungkinan untuk menghentikan sama sekali,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana.
Isu keselamatan negara
Anwar berkata, keputusan berhubung penggunaan Waze dibuat berdasarkan pertimbangan keselamatan negara. Waze berpangkalan di Israel dan perjanjiannya tertakluk kepada undang-undang negara itu.
“Apakah sanggup kita serah maklumat kita kepada undang-undang Israel? Itu soalnya… kerana kita antara negara yang keras menentang rejim Zionis Israel yang kejam itu.
“Jadi, tentunya tindakan kita itu dipantau. Saya percaya selepas ini semua pengaruh mereka kena digunakan untuk menghentam kita. Tapi, janganlah rakyat kita sendiri,” katanya.
Gesaan Pemuda DAP
Mengulas gesaan Pemuda DAP supaya kerajaan menyemak semula keputusan larangan itu, Anwar berkata perkara tersebut sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Pimpinan DAP semua ada, Gobind dan Loke setuju,” katanya, merujuk kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.
Sebelum ini, pihak Waze menafikan dakwaan aplikasi itu mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan data peribadi pengguna dieksploitasi.
Larangan dan aplikasi alternatif
Pada 21 Oktober, kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan urusan rasmi. Keputusan itu dibuat susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Anwar.
Larangan tersebut mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan data pengguna serta kesesuaian aplikasi alternatif untuk tujuan navigasi.
Susulan larangan itu, Anwar menggalakkan rakyat beralih kepada aplikasi tempatan seperti TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia bersama Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Bagaimanapun, beliau mengakui aplikasi TuJu masih mempunyai beberapa kelemahan. Beliau menegaskan perkara itu tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada kebimbangan keselamatan negara, sambil meminta pengguna bersabar sementara kerajaan menilai keupayaan aplikasi alternatif yang tersedia.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.