
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan menteri dalam negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantung pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Notis rayuan yang dilihat FMT menamakan Ketua Pengarah JPPM, Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail sebagai perayu.
Menurut notis yang difailkan peguam kanan persekutuan bagi pihak kedua-dua perayu itu, mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Azizan Arshad semalam.
Peguam PN, Rafique Rashid Ali mengesahkan pemfailan tersebut.
Penggantungan kekal berkuat kuasa
Perintah penggantungan oleh Mahkamah Tinggi itu akan kekal berkuat kuasa sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman gabungan berkenaan.
Azizan memutuskan wujud keadaan luar biasa yang mewajarkan penggantungan itu. Beliau mengambil kira peranan politik PN serta implikasi terhadap haknya sebagai wakil rakyat dan kerajaan negeri.
Permohonan semakan kehakiman PN
Pada 5 Oktober, PN memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap JPPM.
Antara lain, PN memohon perintah certiorari bagi membatalkan notis 23 September yang menggantung aktivitinya tanpa had masa. PN turut memohon pembatalan notis tunjuk sebab pada 22 September yang mengarahkannya menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan.
PN juga memohon deklarasi bahawa kedua-dua notis itu terbatal dan tidak sah.
Permohonan itu difailkan oleh setiausaha agung lima parti komponen PN, tidak termasuk Bersatu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.