
“Perikatan Nasional kembali.” Itulah reaksi Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menggantung pelaksanaan notis pembatalan pendaftaran gabungan itu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dua hari lalu.
Takiyuddin berkata, keputusan itu membolehkan PN kembali menjalankan aktiviti politiknya sementara menunggu prosiding substantif semakan kehakiman terhadap keputusan RoS berkenaan didengar mahkamah.
“PN is back”
“Selepas keputusan ini, saya tak nak hurai panjang, saya nak sebut dalam dua perkara: Perikatan Nasional kembali, PN is back, Perikatan Nasional kembali semula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadiri pendengaran permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan RoS membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Kerjasama dengan BN belum muktamad
Takiyuddin turut menyatakan kenyataan bahawa Barisan Nasional (BN) bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka manakala baki tujuh kerusi ditandingi PAS serta rakan dalam PN masih belum dimuktamadkan.
Menurut beliau, rundingan kerjasama dengan BN akan terus diperincikan menjelang hari penamaan calon, termasuk pembahagian kerusi dan gerak kerja pilihan raya.
“Itu belum muktamad lagi (BN bertanding di 21 kerusi dan PAS-PN tujuh kerusi). Ada banyak hari lagi (sebelum penamaan calon).
“Kerjasama tetap kerjasama (dengan BN), tetapi belum lagi memuktamadkan bentuk kerjasama dan sebagainya,” katanya.
Semalam, Zahid yang juga presiden Umno dilaporkan berkata BN akan bertanding di 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala tujuh lagi diperuntukkan kepada PAS dan rakan-rakannya.
PRN Melaka 14 November
PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 14 November, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.