
Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, membuka bidaan untuk dua aset kesayangannya, iaitu motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya. Hasilnya akan digunakan bagi membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000.
Akmal berkata beliau mengambil keputusan itu selepas mendapati simpanannya masih tidak mencukupi untuk menjelaskan jumlah yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Melaka.
Perintah bayar RM300,000
Mahkamah itu memerintahkan beliau membayar RM250,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan pemimpin DAP itu. Beliau turut diperintahkan membayar kos RM50,000.
“Dengan berat hati, saya membuka bidaan untuk dua aset kesayangan saya, motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakan saya,” katanya di Facebook.
Beliau berkata kedua-duanya aset yang sudah habis dibayar dan boleh dijual. Akmal memaklumkan beliau tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dilepaskan bagi mencukupkan jumlah itu.
Tidak mahu bebankan orang lain
Menurut Akmal, ada pihak mencadangkan supaya tabung sumbangan dibuka bagi membantunya. Namun, beliau mahu berusaha sendiri terlebih dahulu kerana tidak mahu membebankan orang lain.
“Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing. Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu,” katanya.
Beliau berkata pembida yang serius perlu membayar deposit RM100 sebelum mengemukakan tawaran. Deposit itu akan dipulangkan sepenuhnya kepada mereka yang tidak berjaya.
Akmal turut berkata beliau menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah berkenaan. Beliau menyifatkan RM300,000 sebagai jumlah yang besar untuk ditanggungnya sendiri.
Berpunca daripada kenyataan 2024
Saman itu berpunca daripada kenyataan Akmal pada September 2024, selepas Kok mempersoalkan cadangan mewajibkan sijil halal bagi restoran dan perniagaan makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.
Mahkamah turut memerintahkan Akmal memadam kenyataan berunsur fitnah itu daripada platform media sosialnya. Beliau juga dilarang mengulangi kenyataan yang sama atau yang membawa maksud serupa terhadap Kok.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.