
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantung keahlian Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, selama dua penggal pemilihan parti, berkuat kuasa 13 Oktober lalu.
Surat bertarikh 14 Oktober 2026 itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan. Abu Bakar turut memegang jawatan Ketua Bersatu Bahagian Kangar.
Pengerusi Bersatu Perlis sahkan surat
Perkara itu disahkan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim, selepas surat penggantungan tersebut tular di media sosial.
“Ya betul, surat dikeluarkan minggu lepas lagi. Menteri Besar juga sudah mengetahui mengenai surat penggantungan itu.
“Buat masa ini, kita sedang menunggu keputusan rasmi daripada kepemimpinan Bersatu Pusat dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas,” katanya pada Rabu.
Gantung ikut Fasal 22.5
Berdasarkan surat yang tular, Lembaga Disiplin parti yang bersidang pada 13 Oktober lalu memutuskan menggantung Abu Bakar mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu bagi tempoh dua penggal pemilihan parti.
Tindakan itu diambil susulan dakwaan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Dilucut jawatan, boleh rayuan
Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti. Beliau juga dilarang membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan.
Walau bagaimanapun, beliau masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.