
Bekas Naib Presiden MCA Ti Lian Ker menyifatkan pelantikan Adam Adli Abdul Halim sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi sebagai “pisau bermata dua” yang boleh membantu atau membunuh kerjaya politiknya.
Beliau berkata pelantikan itu membawa harapan dan dilihat sebagai permulaan kepada janji besar seperti reformasi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kebebasan akademik serta penghapusan atau rombakan PTPTN.
Menurutnya, tuntutan tersebut merupakan modal politik utama Pakatan Harapan sejak bertahun-tahun lalu dan sering diulang dalam beberapa pilihan raya umum, termasuk oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ti berkata gerakan mahasiswa yang pernah dipimpin Adam Adli juga dibina atas perjuangan reformasi yang sama.
Namun, katanya, realiti berubah selepas PH membentuk kerajaan, terutama apabila Adam Adli tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya.
Beliau berkata kekalahan Adam Adli kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin dilihat sebagai pertembungan kem dalam PKR.
Ti mempersoalkan sama ada Adam Adli diletakkan di Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melaksanakan reformasi atau sekadar menjadi kambing hitam bagi kegagalan menunaikan janji penghapusan AUKU dan PTPTN.
Beliau turut merujuk kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengenai norma janji pilihan raya, sambil mempersoalkan sama ada ia menandakan pengguguran senyap janji reformasi.
Menurut Ti, jika reformasi gagal, beban politik tidak akan ditanggung PH atau kepimpinan tertinggi, sebaliknya jatuh kepada Adam Adli sebagai bekas ikon mahasiswa.
Beliau menyifatkan ini sebagai risiko ahli politik muda berimej reformis, yang legasi mereka digunakan untuk menghalalkan harapan dan kemudian mengurus kekecewaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.