
Pempengaruh media sosial, Eric See-To didesak memohon maaf secara terbuka susulan tindakannya mempersenda penggunaan perkataan ‘Lighad’.
Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan memperlekehkan ayat suci al-Quran dalam apa jua keadaan merupakan perkara yang tidak boleh dipandang ringan.
Didesak mohon maaf, laporan polis akan dibuat
“Kamu nak berpolitik, itu kamu punya pasal. Tetapi bila ayat al-Quran dipelekehkan sebegini rupa, maka ia adalah tindakan yang melampau.
“Kami desak untuk kamu mohon maaf secara terbuka dan laporan polis juga akan dibuat atas tindakan bodoh kamu ini,” katanya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.
Bermula daripada hantaran di media sosial
Isu berkenaan timbul selepas Eric See-To menerusi hantaran di media sosial mempersoalkan penggunaan perkataan ‘Lighad’ dengan menyatakan beliau tidak mengetahui maksud perkataan berkenaan.
Menerusi tangkap layar hantaran itu, pemerhati politik yang mengendalikan akaun menggunakan nama Eric See-To, iaitu Lim Sian See, memuat naik Surah al-Hashr, ayat 18.
Melalui hantaran itu, Eric menulis: “Yang saya tengok ialah ada ‘Lighad’ yang saya langsung tak tahu apa itu. Tapi tak ada ‘Liwat’ pula.”
Istilah yang digunakan dalam Belanjawan 2027
Dalam perbentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menarik perhatian rakyat apabila beberapa kali menggunakan beberapa istilah yang jarang didengar, termasuk ‘waad’ dan ‘lighad’.
Dalam bahasa Arab, ‘waad’ bermaksud janji, manakala ‘lighad’ merujuk kepada hari esok.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.