
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) bersedia bertanding di semua kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya Barisan Nasional (BN) terus mengambil keputusan bertanding secara bersendirian.
Berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor hari ini, Anwar berkata beliau tidak terkejut dengan pengumuman BN Johor semalam untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang, memandangkan pihaknya telah memantau perkembangan tersebut.
“Kita dikejutkan dengan keputusan BN-Umno yang mahu bertanding semua kawasan DUN di Johor. Sementara ini, kepimpinan pusat masih baik dan harmoni.
Tetapi, kalau mereka ambil keputusan bertempur di Johor, hari ini PH ambil keputusan menjawab dengan tegas, PH akan bertanding di semua kawasan,” katanya.
Anwar turut menyebut negeri-negeri lain yang turut berada dalam radar PH.
“Di Negeri Sembilan, kita bertanding semua. Selangor, Pulau Pinang, Pahang, kita bertanding semua. Johor dan Negeri Sembilan, kita lawan semua. Johor sedia? Negeri Sembilan sedia? Lawan tetap lawan,” tegasnya disambut sorakan perwakilan.
PRU awal mungkin diadakan jika hubungan terus retak
Anwar turut membayangkan kemungkinan pilihan raya umum diadakan lebih awal sekiranya keadaan terus memburuk.
“Dalam tempoh terdekat, saya akan adakan rundingan dengan pimpinan PH bukan sahaja di negeri ini, tetapi kalau begini cara kita diperkotak-katikkan, mungkin PRU seluruh negara diadakan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan tarikh PRU terletak di tangannya selaku Perdana Menteri, namun beliau akan mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan sekutu terlebih dahulu.
“Keputusan tarikh itu Perdana Menteri yang buat, tetapi biarlah kita putuskan bersama, harus dengar nasihat kawan-kawan juga,” jelasnya.
Pintu rundingan masih terbuka, kata Anwar
Walaupun bersikap tegas, Anwar turut menegaskan bahawa pintu perbincangan masih terbuka dan PH tidak menutup ruang untuk berunding secara baik.
“Tapi kalau mereka yang mula melanggar, kita jawab dengan tegas. Kalau mereka berunding dengan baik, kita kan orang baik dan sabar dan bijak dan mahu selamatkan negara ini,” katanya.
Beliau mengingatkan semua pihak bahawa keutamaan PH adalah untuk menjaga kestabilan politik negara, bukan sekadar memenangi pertandingan semata-mata.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.