
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak menangguhkan pembubaran Parlimen semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya. Sebaliknya, ia bertujuan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memulihkan ekonomi negara dan menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau berkata ketidaktentuan politik dan pilihan raya yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur serta mengganggu usaha kerajaan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke negara ini.
“Saya bukan tangguh pilihan raya kerana mahu kekal berkuasa, tetapi kerana mahu memastikan ekonomi negara terus berkembang dan rakyat mendapat manfaat,” katanya ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) negeri Kedah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Sungai Petani, hari ini.
Ringgit kukuh bukti ekonomi negara semakin stabil
Anwar berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, menarik pelaburan berteknologi tinggi serta meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengabaikan keperluan asas di peringkat akar umbi.
Pengukuhan nilai ringgit ketika ini, katanya, membuktikan kedudukan ekonomi negara semakin stabil hasil pelaksanaan dasar ekonomi yang lebih tersusun dan berkesan.
“Pengurusan ekonomi sangat penting dan politik perlu stabil. Jika setiap bulan diadakan pilihan raya dan keadaan politik tidak menentu, siapa yang mahu datang melabur?” soalnya.
“Cuba lihat negara jiran dan kekuatan mata wang mereka. Hari ini ramai yang pergi ke Indonesia dan negara lain serta dapat melihat nilai ringgit yang semakin kukuh berbanding sebelum ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan Malaysia mempunyai kemampuan untuk menangani pelbagai cabaran termasuk menstabilkan mata wang, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan asing, dengan syarat kestabilan politik dapat dikekalkan.
Kuasa untuk rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi
Anwar turut menegaskan kerajaan Persekutuan sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan semua kerajaan negeri, termasuk negeri yang ditadbir pembangkang, kerana pembangunan rakyat perlu sentiasa diutamakan.
“Walaupun saya tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran negara, saya mahu gunakan amanah yang diberikan untuk membantu rakyat dan memperkukuh ekonomi negara,” katanya.
“Allah sudah uji saya dengan pelbagai dugaan termasuk keluar masuk penjara. Sebab itu saya tidak mahu menggunakan kuasa untuk memperkayakan anak, isteri atau keluarga,” tambahnya.
Anwar turut mengingatkan pemimpin dan masyarakat supaya terus bersabar serta istiqamah dalam mendukung agenda pembangunan negara yang sedang dilaksanakan Kerajaan MADANI. Menurutnya, proses membangun negara memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan komitmen berterusan meskipun berdepan pelbagai kritikan.
“Pelbagai kritikan akan sentiasa ada, tetapi amanah yang diberikan rakyat mesti terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan negara,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.