
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berada di Sabah menegaskan bahawa kehadirannya di negeri itu bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya bagi menunaikan janji mempertahankan hak serta masa depan rakyat Sabah.
Beliau berkata sepanjang lebih 10 tahun memegang pelbagai jawatan kerajaan, termasuk sebelum menjadi perdana menteri, beliau tidak pernah mengambil sebarang keuntungan daripada Sabah kerana prinsip pemerintahannya sentiasa berlandaskan integriti.
“Saya jadi menteri lebih 10 tahun, tetapi tidak ambil sebatang kayu pun dari Sabah, tidak ambil kontrak, tidak ambil tanah… Saya datang untuk menjaga rakyat dan menunaikan amanah,” katanya pada program PMX Sayang Sabah Mega Talk semalam.
Anwar berkata komitmen kerajaan Madani adalah untuk memastikan pembangunan Sabah terus diberikan perhatian sewajarnya, termasuk langkah bersejarah memulangkan kuasa regulatori elektrik kepada kerajaan negeri selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Namun, beliau berkata kerajaan negeri memaklumkan bahawa mereka kekurangan dana untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik, menyebabkan kerajaan Persekutuan menyalurkan tambahan RM1.2 bilion bagi menangani isu itu secara menyeluruh.
“Itu hak Sabah dan kita sudah pulangkan. Tapi bila Sabah kata tak cukup dana, kita bantu serta-merta sebab itu amanah,” katanya. Beliau menambah bahawa lebih 1,000 tiang elektrik solar telah dipasang di pedalaman Sabah melalui inisiatif Solar Madani.
Anwar turut berkata kerajaan Persekutuan tidak mengetepikan aduan rakyat berhubung infrastruktur asas seperti jalan raya, malah beliau sendiri mengalami keadaan jalan berlubang semasa lawatan kerja.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.