
Mikel Arteta memberi amaran kepada Manchester City bahawa Arsenal masih belum mahu mengalah dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah Fulham 3-0, awal pagi tadi.
Arsenal meledak tiga gol pada separuh masa pertama di Stadium Emirates menerusi dua jaringan Viktor Gyokeres dan satu gol Bukayo Saka.
Kemenangan itu meletakkan The Gunners enam mata di depan Manchester City yang berada di tangga kedua ketika mereka terus memburu gelaran liga pertama dalam tempoh 22 tahun.
Bagaimanapun, City masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan dan dijadual menentang Everton awal pagi Selasa ini.
Arsenal kembali tenang selepas kekalahan
Selepas dilihat goyah susulan kekalahan kepada Manchester City dan Bournemouth bulan lalu, Arsenal kini kembali tenang dan berjaya meningkatkan tekanan ke atas skuad kendalian Pep Guardiola.
Mengulas baki aksi liga musim ini, Arteta berkata pasukannya semakin hampir mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Perlawanan kedua selesai. Tinggal tiga lagi.
“Kami sudah mencatat kemenangan terbanyak dalam sejarah kelab untuk satu musim dan ia masih belum tamat.
“Ia perlawanan yang amat penting kerana kami tahu betapa besar nilai kemenangan dan perbezaan jaringan dalam liga ini,” katanya.
Menurut Arteta, Arsenal memulakan perlawanan dengan penuh tenaga dan agresif ketika melakukan tekanan tinggi ke atas lawan.
“Kami berjaya menghidupkan suasana stadium dan apabila Emirates berada dalam suasana seperti itu, ia sangat sukar buat lawan,” katanya.
Saka kembali beri impak besar
Saka kembali menjadi watak penting dalam kemenangan itu selepas membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama sejak pulih daripada kecederaan tumit yang menyebabkannya terlepas lima perlawanan.
“Kami tahu kemampuan dimilikinya. Dia kembali pada waktu paling penting musim ini.
“Mindanya segar dan dia masih laparkan kejayaan.
“Kami sedang meningkatkan minit permainannya secara berperingkat kerana kami perlukannya di tengah padang,” kata Arteta.
Brentford dan Newcastle turut raih kemenangan
Dalam perkembangan lain, kekalahan 0-3 West Ham United kepada Brentford membuka peluang buat Tottenham Hotspur untuk keluar daripada zon penyingkiran EPL.
Spurs yang kini masih berada dalam kelompok tiga terbawah hanya dua mata di belakang zon selamat dan berpeluang memperbaiki kedudukan jika menewaskan Aston Villa awal pagi Isnin ini.
Brentford pula menghidupkan peluang untuk layak ke pentas Eropah buat kali pertama selepas menamatkan kemarau kemenangan dalam lapan perlawanan.
Gol sendiri Konstantinos Mavropanos membuka laluan kemenangan sebelum penalti Igor Thiago dan jaringan Mikkel Damsgaard melengkapkan keputusan 3-0.
Sementara itu, Newcastle United menamatkan rentetan lima kekalahan berturut-turut apabila menewaskan Brighton 3-1 menerusi jaringan William Osula, Dan Burn dan Harvey Barnes.
Sunderland pula seri 1-1 dengan Wolverhampton Wanderers meskipun beraksi dengan 10 pemain selepas Dan Ballard dilayangkan kad merah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.