
Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali berseloroh tentang situasi yang digambarkannya sebagai gila dalam kalangan Bersatu ketika ini, berikutan kemelut hubungan dengan PAS yang turut memimpin Perikatan Nasional (PN).
Mengumpamakan situasi tersebut seperti sebuah perceraian, Azmin berkata Bersatu tidak pernah mahu memutuskan hubungan dengan mana-mana parti dalam PN.
“Kita tak pernah ceraikan sesiapa, tetapi oleh kerana mereka nak ceraikan kita, tetapi nak duduk dalam rumah kita, tak nak keluar, pagi cerai, malam nak tidur dengan kita, gila kita,” katanya dalam ucapan ketika berkempen untuk calon Bersatu di Batu Kikir.
Bersatu dan PAS masih menganggotai PN walaupun kerjasama politik antara kedua-dua parti itu telah terhenti.
Bersatu bertanding atas lambang sendiri
Berlatarkan persefahaman antara PN pimpinan PAS dengan Barisan Nasional, Bersatu menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan bertanding atas lambang sendiri, merangkumi 24 kerusi, dan turut bertembung dengan PAS serta Wawasan di beberapa kawasan.
Azmin turut menyentuh sikap yang digelarnya sebagai ciri khas rakan politik tersebut.
“Ini baru nikah sebulan cerai, nikah setahun cerai, itulah kata orang trademark atau sikap kawan kita,” katanya.
Sindir sikap PAS ketika PRN Johor
Beliau turut membidas sikap PAS ketika PRN Johor yang lalu, apabila PAS tidak berkempen untuk calon Bersatu yang bertanding atas lambang PN pada ketika itu.
“Ini satu pengkhianatan,” katanya, sambil turut menyentuh kerjasama antara PAS dan Umno.
“Bila ada musim pilihan raya keluar pula fatwa baharu, boleh dakap dan sokong. Atas nama penyatuan Melayu tetapi akhirnya Melayu dipecahkan,” katanya.
Tegas pendirian tentang akidah dan bangsa
Azmin turut menepis sebarang pertikaian berhubung perjuangan pemimpin Bersatu.
“Tanpa parti politik yang tunggang agama pun akidah kita tetap Islam. Tanpa parti yang bertopeng Islam pun akidah kita tetap Islam. Tanpa parti perkauman sempit pun kita tetap Melayu,” katanya.
Negeri Sembilan akan ke peti undi pada 1 Ogos.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.