
Ketua Pengarah Pilihan Raya Bersatu, Mohamed Azmin Ali meramal berlaku keputusan luar jangka yang menyebelahi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan sokongan masyarakat terhadap calon Bersatu sepanjang tempoh kempen berlangsung.
“Kita rasa yakin selepas melihat gelombang merah bunga raya berkibar di setiap daerah dalam Negeri Sembilan, sekali gus mendorong kemungkinan keputusan luar jangka pada 1 Ogos nanti.
“Rakyat dah letih dengan politik kaum dan agama, kumpulan tunggang agama, politik kepalsuan serta politik perkauman.
“Apa yang kami tawarkan adalah untuk semua kaum. Bersatu akan menjadi payung yang akan menyelamatkan rakyat tanpa mengira kaum dan agama masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Rapat Rakyat di Taman Sri Pulai, di sini, malam tadi.
Turut hadir barisan kepimpinan Bersatu
Turut hadir, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, Ketua Penerangan Bersatu yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Tun Faisal Ismail Aziz, Noor’azah Harun (Ampangan), Zool Amali Hussin (Lenggeng) dan Fazly Hamid (Temiang).
Program ekonomi untuk anak muda
Mohamed Azmin berkata, Bersatu menawarkan program ekonomi yang memberi peluang kepada anak muda tempatan untuk memperoleh peluang pekerjaan di negeri ini.
“Kita mahu tawarkan program ekonomi kepada anak muda di negeri ini bukan sahaja dari segi peluang pekerjaan tetapi juga kemahiran bagi mencapai pendapatan tinggi menerusi limpahan ekonomi termasuk di kawasan perindustrian.
“Limpahan ekonomi akan dapat dinikmati rakyat apabila Bersatu membentuk kerajaan di negeri ini.
“Jadi, kami berharap pengundi membuat sesuatu di luar pemikiran biasa dengan menyokong kebangkitan Bersatu,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.