
Seorang pengurus klinik melalui pengalaman unik yang mungkin sukar diulangi apabila melihat jumlah RM1 bilion pada baki akaun perbankan dalam talian miliknya.
Kejadian itu mula tular selepas Wan Muhammad Fairus, 33, memuat naik tangkap layar yang memaparkan angka 10 digit dalam aplikasi perbankan dalam talian miliknya. Beliau turut berkongsi pengalaman terbabit dengan warganet.
Terkejut lihat angka 10 digit
“Waktu itu saya dalam bilik tidur dan mahu membuat transaksi. Tidak silap, duit dalam akaun cuma ada bawah RM1,000 sahaja.
“Bila buka dan tekan ikon sembunyikan baki, saya terkejut tengok ada jumlah yang terlalu banyak macam itu.
“Saya memang terkejut! Tangan saya pun menggeletar pegang telefon. Saya cuba log keluar dan masuk balik, duit itu masih ada.
“Bila tengok penyata bank dan tanya ChatGPT berapa jumlah angka itu, baru tahu nilainya mencecah RM1 bilion,” katanya sambil ketawa ketika dihubungi hari ini.
Segera hubungi pihak bank
Bapa kepada empat cahaya mata yang menetap di Samariang, Kuching itu berkata, beliau menyedari wang terbabit bukan miliknya. Beliau percaya berlaku kesilapan teknikal lalu segera menghubungi pihak bank untuk mendapatkan penjelasan.
Menurutnya, beliau tidak terfikir untuk menggunakan wang itu kerana sedar ia bukan haknya dan bimbang berdepan implikasi undang-undang.
“Selepas hubungi pihak bank, mereka maklumkan berlaku masalah teknikal dan menyekat sementara akaun saya hingga 4 petang semalam.
“Semuanya selesai apabila pihak bank membuat pembatalan semula transaksi dan wang asal saya di dalam akaun tidak terjejas,” katanya.
Tunggu ganjaran daripada bank
Wan Muhammad Fairus berkata, pihak bank ada memaklumkan mahu memberi ganjaran. Namun, beliau belum menerimanya dan tidak tahu ganjaran apa yang dimaksudkan.
“Mungkin kena tunggu makluman melalui e-mel atau pengumuman daripada mereka nanti,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.