
Bersatu mengumumkan 24 calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan (NS) , sekaligus bertembung dengan dua parti komponen Perikatan Nasional (PN) di lapan kerusi.
Menurut senarai calon yang diumumkan, Bersatu akan bersaing dengan PAS di Serting, Ampangan, Paroi dan Bagan Pinang.
Bersatu turut akan bersaing dengan Parti Wawasan Negara di Klawang, Sikamat, Mambau dan Gemas. Namun, Bersatu dilihat tidak akan bertembung dengan Gerakan mahupun Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Bersatu meletakkan harapan kepada Faisal Ismail Aziz di Sikamat, R Sri Sanjeevan di Jeram Padang, dan Mohamad Hanifah Abu Baker di Labu. Turut diumumkan bekas presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Megat D Shahriman Zaharudin, bagi kerusi Seri Menanti.
Bersatu melangkah ke pilihan raya kali ini dengan lambang sendiri.
Dalam pada itu, Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy, memberitahu FMT bahawa dua ahlinya bertanding atas tiket Bersatu, iaitu N Sarawanan di Mambau dan R Mahendran di Seremban Jaya.
Negeri Sembilan akan ke peti undi pada 1 Ogos.
Muhyiddin bayang Bersatu tinggalkan PN, bentuk gabungan baharu
Bersatu akan membentuk satu gabungan baharu bersama parti-parti lain selepas PRN Negeri Sembilan, kata Presidennya, Muhyiddin Yassin.
Memberi bayangan bahawa Bersatu akan keluar daripada PN, Muhyiddin berkata, antara parti yang akan menyertai gabungan baharu itu ialah parti-parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Putra yang dipimpin Ibrahim Ali dan Urimai yang diketuai P Ramasamy.
Bekas perdana menteri itu berkata, gabungan baharu tersebut akan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Dalam IPR yang nyata kesediaan duduk bincang tentang apa konsep kerjasama yang kita nak bentuk dalam kurang satu tahun.
“Ini supaya kita dapat hadapi PRU akan datang dengan kekuatan baharu kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Bersatu PRN Negeri Sembilan.
Muhyiddin dakwa Bersatu diketepikan PAS dalam rundingan kerusi
Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mendakwa PAS membiarkan parti itu terkontang-kanting apabila gagal meneruskan rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, PAS pada mulanya memanggil mesyuarat bagi membincangkan agihan kerusi, namun ia tidak diteruskan sehingga menyebabkan Bersatu diketepikan daripada proses membuat keputusan.
“Sebaik tamat PRN Johor dan tinggal beberapa hari sebelum PRN Negeri Sembilan, mereka memanggil mesyuarat kononnya untuk bincang pembahagian kerusi. Tetapi mesyuarat tidak berlangsung kerana tak dapat putuskan.
“Sepatutnya ada mesyuarat lagi, tetapi mereka tidak buat. Mereka berunding sesama sendiri dan tinggalkan kita begitu sahaja. Terkontang-kanting kita dibuatnya,” katanya.
Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan kepimpinan PN yang didakwanya membuat rundingan dengan parti lain tanpa melibatkan semua parti komponen gabungan itu.
Menurutnya, Bersatu sehingga kini masih merupakan parti pengasas dan ahli sah PN, justeru sebarang keputusan sepatutnya diputuskan secara bersama.
“Hari ini pun kalau kita bertanding atas logo PN, kita masih ahli PN. Ini bukan parti PAS semata-mata. Semua parti dalam PN mempunyai hak yang sama dan tidak boleh dipinggirkan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.