
Dua pemimpin Bersatu menyifatkan dakwaan parti itu sebagai punca kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) yang gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor sebagai tidak tepat dan melulu.
Ketua Bersatu Johor, Sahruddin Jamal, berkata PN sentiasa bergerak sebagai sebuah pasukan dan setiap parti komponen memikul tanggungjawab bersama terhadap sebarang keputusan pilihan raya.
“Selama lima tahun lepas, PN diterajui Muhyiddin Yassin dan Bersatu di mana kita berjaya memenangi banyak kerusi,” kata bekas menteri besar Johor itu kepada FMT.
Dakwaan kemelut dalaman Bersatu
Terdahulu, Ketua Parti Wawasan Negara (Wawasan) Johor, Zulkifli Bujang, mendakwa kemerosotan ketara sokongan terhadap PN pada PRN Johor tidak boleh dipisahkan daripada kemelut dalaman Bersatu yang berlarutan sejak sekian lama.
Dakwaan tersebut turut menimbulkan rasa tidak puas hati Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Sri Sanjeevan, yang mendakwa wujud dendam kesumat dalam kalangan pemimpin Wawasan yang mahu melihat Bersatu rebah.
Beliau mendakwa Bersatu bukan sahaja disabotaj, malah disisihkan daripada menyertai program PN sepanjang tempoh berkempen di Johor.
Muhyiddin sering jadi kambing hitam
Sambil membandingkan situasi itu dengan PRN Sabah tahun lalu, Sri Sanjeevan berkata kepimpinan Muhyiddin sering dijadikan kambing hitam apabila berlaku kekalahan, sedangkan jentera pada ketika itu dikendalikan pemimpin lain seperti Hamzah Zainudin dan Ronald Kiandee.
Justeru, beliau mendesak Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, meletak jawatan serta-merta atas kegagalan gabungan itu membawa impak positif dan memenangi sebarang kerusi pada PRN Johor.
Strategi pusat dipersoal
Jelasnya, walaupun naib presiden PAS itu dicanang sebagai figura yang mempunyai nilai pasaran politik tinggi, kegagalan memenangi walaupun satu kerusi membuktikan strategi pusat memakan diri.
“PAS yang mendabik dada mereka kuat dan mempunyai banyak jentera pun dapat ‘telur’ dalam PRN Johor. Eloklah Samsuri letak jawatan segera,” katanya.
PN mempertaruhkan 33 calon pada PRN Johor, iaitu Bersatu (16), PAS (11), MIPP (lima) dan Pejuang (satu), namun semuanya tewas, dengan 21 calon turut hilang deposit.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.