
Barisan Nasional (BN) menangguhkan rundingan mengenai kerjasama bagi PRN Melaka ke tarikh lain, kata Pengerusi BN negeri, Ab Rauf Yusoh.
Ketua menteri itu berkata BN terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat. Namun, rundingan terpaksa ditangguhkan kerana mereka tidak dapat mencari tarikh sesuai yang dipersetujui.
Bertemu bakal rakan minggu depan
BN dijangka memulakan rundingan minggu ini. Namun, Rauf berkata gabungan itu berkemungkinan besar akan bertemu bakal rakan kerjasama pada minggu depan, lapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata sebarang hasil rundingan tidak akan diputuskan secara bersendirian. Sebaliknya, ia akan dibawa melalui saluran parti untuk diteliti dan dipertimbangkan sebelum keputusan rasmi dibuat.
Keputusan di tangan MKT Umno
“Penilaian itu akan mengambil kira saranan Presiden Umno, Zahid Hamidi, termasuk meneliti sama ada sesuatu bentuk kerjasama itu lebih banyak membawa manfaat atau mudarat kepada parti,” katanya.
Jelas Rauf, beliau juga tidak menjurus kepada mana-mana gabungan untuk menjadi rakan strategik. Hal itu bergantung kepada penilaian dan kajian mendalam sebelum diputuskan MKT Umno.
BN masih belum memutuskan untuk menjalin kerjasama bagi PRN Melaka. Padahal, Zahid pada mulanya berkata mereka akan bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) selepas kerjasama mereka memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRN Negeri Sembilan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.