
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran bahawa amalan sogokan politik atau “bom” pada hari-hari terakhir kempen pilihan raya masih berlaku secara terbuka, dan jika tidak dibendung segera, ia berisiko menjadi budaya normal yang merosakkan sistem demokrasi negara.
Beliau berkata budaya pemberian wang undi, janji bermusim serta aktiviti “ziarah rakyat” yang hanya muncul ketika kempen adalah amalan lama yang sepatutnya ditinggalkan.
Menurutnya, “bom” kepada pengundi pada hari-hari terakhir kempen bukan lagi rahsia, malah terus berlaku dalam hampir setiap pilihan raya.
Pelanggaran peraturan lain seperti penggunaan jentera kerajaan, pengumuman projek ketika tempoh kempen, jamuan rakyat dan pelbagai bentuk pengagihan juga didakwanya semakin berleluasa.
“Perkara ini sememangnya salah dan perlu diberi perhatian lebih serius. Tindakan perlu diambil tanpa perlu menunggu petisyen pilihan raya,” katanya.
Beliau kesal kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum bertindak tegas, manakala badan pengawasan pilihan raya seperti BERSIH yang dahulunya lantang kini dilihat agak senyap dalam isu ini.
“Mungkin kerana majoriti pelanggaran dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Tuan Ibrahim mengakui sogokan mempengaruhi sebahagian keputusan pengundi, namun percaya masih ramai yang menolak budaya ini walaupun mereka menerimanya.
“Saya tetap bimbang, jika ‘bom yang tidak meletup’ ini tidak dibendung, ia akan dinormalisasikan dan akhirnya merosakkan sistem pilihan raya kita,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.