
Oleh Faezuddin Puad
Cabaran Dr. Mahathir Mohammad agar Perdana Menteri membubarkan Parlimen pada ketika ini adalah tidak bertanggungjawab dan hanya mencerminkan keghairahan politik peribadi.
Kerajaan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim kini sedang berusaha keras memacu pembangunan negara. Hari ini, Perdana Menteri sedang membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) satu pelan jangka sederhana yang amat penting untuk masa depan Malaysia. Pelbagai inisiatif sedang giat dilaksanakan untuk membantu rakyat, memulihkan ekonomi, dan menarik pelaburan berkualiti dari luar negara.
Tun Mahathir di luar pula merengek minta bubar parlimen.
Cabaran untuk membubarkan Parlimen di tengah-tengah penggal bukan sahaja mengarut, malah berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik dan ekonomi. Ini hanya akan menggugat keyakinan pelabur dan menjejaskan kemajuan negara yang sedang dibina secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan MADANI.
Pembangkang sering memperlekeh usaha Perdana Menteri dengan mempertikai angka “potensi pelaburan”. Mana mungkin pelabur mahu datang jika suasana politik negara sentiasa di ganggu agenda peribadi segelintir pemimpin yang enggan move on?
Janganlah kita ulangi peristiwa tukar kerajaan dan tukar perdana menteri banyak kali dalam satu penggal.
Tun, cukuplah. Rakyat telah membuat keputusan. Tun sendiri gagal mendapat sokongan majoriti rakyat di kerusi Parlimen Langkawi dalam PRU lepas. Lebih dasyat lagi hilang deposit. Itu isyarat jelas daripada rakyat, pandanglah ke cermin dan muhasabahlah.
Faezuddin Puad merupakan Naib Ketua AMK Johor. Artikel ini pada asalnya diterbitkan di Facebook Faezuddin Puad.
*Kongsi pandangan atau idea anda bersama kami. Hantar ke editorial@asianewshub.com.
**Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.