
DAP akan membawa pengajaran dan mesej daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang menyaksikan prestasi parti itu merosot kepada enam kerusi berbanding 10 sebelumnya, ke pilihan raya di Negeri Sembilan bulan depan.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berkata parti itu akan mendengar dengan lebih dekat, memperkukuh khidmat kawasan serta memperbaiki cara berkomunikasi dan mentadbir.
“Kami membawa pengajaran dari Johor ke Negeri Sembilan dengan rendah hati, disiplin dan tekad untuk bekerja lebih keras. Johor telah memberi mesejnya. Kami akan belajar daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan.
“Di Negeri Sembilan, kami akan terus berjuang secara positif untuk mendapatkan mandat baharu dan meneruskan pentadbiran yang stabil, sederhana dan berkhidmat kepada semua,” tambah CEC DAP.
Pada PRN Johor, Sabtu lalu, DAP kehilangan empat kerusi yang disandangnya, selepas Johor Jaya, Tangkak, Jementah dan Perling dirampas MCA dan MIC, parti komponen Barisan Nasional (BN). Namun, DAP berjaya mempertahankan Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Stulang, Skudai dan Senai.
Pertahan 11 kerusi di Negeri Sembilan
Bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan, DAP yang bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) akan mempertahankan 11 kerusi, dengan mempertaruhkan lapan penyandang dan tiga muka baharu.
Kerusi terbabit ialah Chenaah, Mambau, Seremban Jaya, Temiang, Rahang, Bahau, Nilai, Lobak, Bukit Kepayang, Lukut dan Repah.
Menurut CEC DAP, parti itu akan memasuki PRN tersebut sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri penyandang, dengan rekod pentadbiran, pengalaman dan pasukan yang bersedia menerima mandat untuk mentadbir sekali lagi.
Kempen bersifat positif dan berpandangan ke hadapan
“Kempen kami di Negeri Sembilan akan bersifat positif dan berpandangan ke hadapan. Kami akan mengetengahkan pencapaian kerajaan negeri, rancangan pembangunan, penyelesaian kepada masalah rakyat serta calon yang mampu berkhidmat,” katanya.
“Kami mahu rakyat membuat pilihan berdasarkan rekod, dasar dan masa depan Negeri Sembilan, bukan politik perpecahan,” tambah CEC DAP.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.