
Malaysia Everest 2023 (ME 2023) telah memohon kerajaan Nepal mengeluarkan surat deklarasi atau pengisytiharan rasmi kematian bagi pendaki Muhammad Hawari Hashim, yang hilang lebih tiga tahun di kawasan Gunung Everest.
Chef de Mission ME 2023, Salleh Mohd Nor, berkata sehingga kini tiada sebarang dokumen deklarasi kematian dikeluarkan oleh kerajaan Nepal berhubung kehilangan pendaki kurang upaya (OKU) pendengaran itu.
Beliau berkata permohonan telah disampaikan kepada Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Malaysia, Mudita Bajracharya, bagi membantu keluarga Hawari dalam urusan tuntutan insurans, pekerjaan, dan dokumentasi rasmi.
Wakil kerajaan Nepal itu, menurut Salleh, bersetuju untuk membantu melalui pertemuan yang diadakan.
“Tindakan seterusnya ialah menghantar surat rasmi kepada kerajaan Nepal bagi mendapatkan pertimbangan dan tindakan lanjut,” katanya pada Sambutan Hari Everest Sedunia 2026 di Kuala Lumpur, menurut laporan Harian Metro.
Laporan perubatan sokong permohonan deklarasi kematian
ME 2023 sebelum ini turut mengemukakan laporan perubatan yang disediakan oleh Ketua Pegawai Perubatan Mountain Medical Institute, kepada Kedutaan Malaysia di Nepal bagi menyokong permohonan pengisytiharan kematian Hawari.
Laporan itu memberikan pandangan profesional berhubung status Hawari berdasarkan faktor perubatan dan persekitaran di Everest.
Menurut laporan tersebut, peluang seseorang pendaki untuk terus hidup dalam tempoh lama di puncak Everest amat tipis memandangkan kawasan itu berada dalam “Zon Kematian” pada ketinggian melebihi 8,000 meter, di mana kandungan oksigen atmosfera tidak mencukupi. Walaupun oksigen tambahan digunakan, pendaki masih berdepan risiko hipoksia teruk, keletihan melampau, suhu sejuk ekstrem, serta penyakit berkaitan altitud tinggi.
Hawari hilang sehari selepas takluk Everest
Hawari yang berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Muzium Pulau Pinang ketika itu berusia 33 tahun. Beliau berjaya menawan Everest pada 19 Mei 2023 sebelum dilaporkan hilang keesokan harinya ketika masih berada di kawasan puncak.
Dalam ekspedisi yang sama, Ketua Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi waktu Nepal ketika dirawat di Kem 4 pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.