
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang membuat laporan polis berhubung dakwaan Presiden Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia pada 2014.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata isu berkenaan pada asasnya hanya melibatkan dua pihak utama, iaitu Hadi dan Kedutaan AS di Malaysia, yang telah pun menafikan dakwaan tersebut.
Katanya, sekiranya timbul sebarang pertikaian atau perbezaan kenyataan antara kedua-dua pihak, saluran undang-undang sivil adalah kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu itu.
Kenapa PH melatah, soal Fadhli
“Apa yang menghairankan, kenapa tiba-tiba Pakatan Harapan (PH) melatah? Apa kepentingan mereka dalam isu ini?
“Adakah presiden PAS mengaitkan mana-mana pihak dari PH dalam isu ini? Tidak sekali-kali,” katanya di Facebook.
Semalam, tiga laporan polis dibuat oleh Naib Ketua PKR Bandar Tun Razak, V Jonathan, Ketua Wanita PKR Bandar Tun Razak, Mazlina Osman dan Timbalan Ketua Pemuda PKR Bandar Tun Razak, Amarul Hisham Jalil, di Balai Polis Cheras terhadap kenyataan tersebut.
Dakwaan Hadi di Muktamar PAS
Hadi pada Muktamar Tahunan PAS ke-72, Sabtu lalu, mendakwa parti itu pernah ditawarkan pihak asing untuk menjatuhkan kerajaan ketika lawatan bekas presiden AS, Barack Obama, ke Malaysia pada 2014.
Menurut Hadi, Takiyuddin Hassan dan Ahmad Samsuri Mokhtar, yang merupakan setiausaha politiknya ketika itu, pergi ke kedutaan berkenaan untuk mengadakan pertemuan.
Bagaimanapun, perkara itu kemudian dinafikan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, dengan menegaskan negara itu tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang memimpin Malaysia.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.