
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad menolak dakwaan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menutup pintu terhadap pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi sekolah menengah persendirian Cina.
Beliau berkata, beberapa laporan media telah menggambarkan seolah-olah Anwar menolak terus UEC susulan kenyataannya baru-baru ini berhubung kedudukan bahasa dan dasar pendidikan.
“Berdasarkan rakaman penuh ucapan beliau, jelas Perdana Menteri mengambil pendekatan yang berhati-hati, inklusif dan seimbang dengan meletakkan asas kenegaraan sebagai keutamaan sebelum memperkukuh kepelbagaian bahasa dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan cadangan untuk mengangkat bahasa-bahasa lain selagi pendokongnya mengiktiraf kedudukan utama bahasa Melayu, yang menurutnya mesti diperkukuh terlebih dahulu sebelum kerajaan boleh “bercakap tentang perkara lain, termasuk UEC”.
Faezuddin berkata, Malaysia memerlukan pendekatan pendidikan yang bersifat pendamaian.
“Kita perlu mengambil pendekatan rekonsiliasi dalam pendidikan, iaitu unsur positif daripada semua sistem peperiksaan, termasuk UEC, digabungkan untuk memperkayakan sistem pendidikan kebangsaan tanpa menjejaskan prinsip teras Perlembagaan Persekutuan dan matlamat membina masyarakat majmuk,” katanya.
Kenyataan Anwar dibuat selepas Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming memaklumkan partinya merancang bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan pengiktirafan UEC, yang mengundang kritikan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan beberapa pihak lain.
Akmal sebelum ini berkata Nga perlu memahami dasar pendidikan kebangsaan terlebih dahulu dan tidak perlu mempertimbangkan sijil yang tidak selari dengan aspek utama dasar sedia ada.
UEC merupakan kelayakan peperiksaan menengah yang ditawarkan di sekolah menengah persendirian Cina dan ketika ini tidak diiktiraf bagi kemasukan terus ke universiti awam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.