
Syarikat teknologi gergasi menyaksikan penyusutan nilai pasaran sebanyak AS$1 trilion minggu ini melibatkan Amazon, Microsoft, Nvidia, Meta, Alphabet dan Oracle susulan kebimbangan pelabur terhadap perbelanjaan melampau dalam kecerdasan buatan (AI).
Amazon mencatatkan kejatuhan paling ketara selepas mengumumkan perbelanjaan modal bagi tahun 2026 akan mencecah AS$200 bilion, jauh lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis.
Pengumuman tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai gelembung AI, menyebabkan saham Amazon jatuh lebih 5 peratus pada Jumaat dan mencatat prestasi mingguan terburuk sejak 2022 dengan kejatuhan keseluruhan 12 peratus.
Menurut laporan Financial Times, gabungan perbelanjaan Amazon, Alphabet, Microsoft dan Meta bagi tahun 2026 dijangka melebihi AS$660 bilion, iaitu lebih tinggi daripada KDNK negara seperti Singapura, Emiriah Arab Bersatu atau Israel.
Pengarah Pelaburan GAM Investment, Paul Markham, berkata kebimbangan mengenai pulangan modal daripada pembangunan model bahasa besar (LLM) dan risiko kapasiti berlebihan akan terus menghantui pasaran.
D.A. Davidson telah menurunkan penarafan saham Amazon daripada “Beli” kepada “Neutral” disebabkan skala perbelanjaan yang besar serta persaingan sengit dalam perkhidmatan awan (AWS) oleh Microsoft dan Alphabet.
Berbeza dengan pesaingnya, Apple mencatatkan kenaikan harga saham sebanyak 7 peratus minggu ini. Pelabur dilihat lebih menyukai strategi AI Apple yang konservatif serta permintaan iPhone yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.