
Grok, alat kecerdasan buatan (AI) milik Elon Musk, memaklumkan pada Jumaat bahawa pihaknya sedang berusaha keras memperbaiki kelemahan teknikal selepas pengguna mendakwa alat tersebut menghasilkan imej erotik membabitkan kanak-kanak dan wanita.
Menerusi satu hantaran di platform X, Grok mengakui telah mengenal pasti keciciran dalam sistem keselamatan dan sedang memperbaikinya dengan kadar segera.
Pihak syarikat turut menegaskan bahawa bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) adalah haram dan dilarang sama sekali.
Aduan mengenai penyalahgunaan ini mula tular selepas butang “edit imej” dilancarkan pada Grok lewat Disember lalu. Fungsi tersebut membolehkan pengguna mengubah suai sebarang imej di platform tersebut, di mana sesetengah pengguna bertindak membuang pakaian subjek dalam gambar secara digital menggunakan AI.
Meskipun syarikat xAI milik Musk memberikan maklum balas ringkas dengan mendakwa “media arus perdana menipu”, pihak berkuasa antarabangsa mula bertindak.
Kerajaan India menuntut perincian mengenai langkah penyingkiran kandungan lucah tersebut, manakala pejabat pendakwa raya di Paris telah memperluaskan siasatan terhadap X atas tuduhan penyebaran pornografi kanak-kanak melalui Grok.
Grok sebelum ini sering dikritik kerana menjana pelbagai kenyataan kontroversi membabitkan konflik antarabangsa serta menyebarkan maklumat palsu mengenai kejadian tembakan maut di Australia.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.