
Erling Haaland muncul wira Manchester City apabila menjaringkan gol kemenangan dalam aksi penting Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan pasukannya menewaskan pendahulu liga, Arsenal, 2-1 di Stadium Etihad.
Penyerang Norway itu menamatkan kemarau jaringan sejak Februari lalu dengan penyudah tajam pada minit ke-65, sekali gus menghadiahkan tiga mata penting buat City.
City rapatkan jurang dengan Arsenal
Kemenangan tersebut menyaksikan Manchester City kini hanya ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal, selain masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Jika berjaya menewaskan Burnley dalam perlawanan seterusnya, City berpeluang memintas Arsenal untuk menduduki tangga teratas liga dengan baki lima perlawanan.
Dalam aksi itu, City terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Rayan Cherki pada minit ke-16 hasil gerakan solo.
Namun, Arsenal segera menyamakan kedudukan kurang dua minit kemudian apabila kesilapan penjaga gol Gianluigi Donnarumma dimanfaatkan oleh Kai Havertz.
Pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus memburu jaringan kemenangan, dengan Arsenal hampir mendahului menerusi percubaan Eberechi Eze yang sekadar menggegar tiang gol.
Haaland akhirnya menjadi penentu apabila menyempurnakan gerakan Nico O’Reilly untuk menjaringkan gol ke-23 liga musim ini.
Salah samai rekod Gerrard dalam derbi Merseyside
Dalam satu lagi aksi, Mohamed Salah mencipta detik istimewa apabila menjaringkan gol ketika Liverpool menewaskan Everton 2-1 dalam perlawanan derbi Merseyside.
Gol tersebut menyaksikan Salah menyamai rekod Steven Gerrard sebagai penjaring terbanyak dalam pertembungan itu dalam era Liga Perdana Inggeris dengan sembilan jaringan.
Virgil van Dijk kemudian melengkapkan kemenangan Liverpool menerusi jaringan lewat, sekali gus memberikan penamat manis buat Salah dalam penampilan terakhirnya dalam derbi tersebut.
Forest bangkit, Villa hampiri Liga Juara-Juara
Sementara itu, Nottingham Forest mencatat kemenangan 4-1 ke atas Burnley selepas bangkit daripada ketinggalan, dengan Morgan Gibbs-White meledak hatrik dalam tempoh 15 minit.
Forest ketinggalan terlebih dahulu menerusi jaringan Zian Flemming pada masa kecederaan separuh masa pertama sebelum bangkit pada babak kedua.
Gibbs-White menyamakan kedudukan pada minit ke-63 sebelum meletakkan pasukannya di depan tujuh minit kemudian, dan melengkapkan hatrik pada minit ke-77 hasil hantaran Ryan Yates.
Kemenangan itu meletakkan Forest lima mata di atas zon penyingkiran.
Dalam satu lagi perlawanan, Aston Villa hampir mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara selepas menewaskan Sunderland 4-3 dalam aksi dramatik.
Tammy Abraham muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94, memastikan Villa kekal di tangga keempat dengan kelebihan 10 mata ke atas pasukan di tangga keenam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.