
Bekas pegawai kanan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, mendakwa Presiden PAS Hadi Awang mempamerkan ciri-ciri seorang “supreme leader” atau pemimpin agung selepas membuat dua pengumuman penting yang menyentuh Perikatan Nasional (PN).
Marzuki merujuk kepada pengumuman Hadi bahawa PAS bersetuju untuk meneruskan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang, serta membenarkan Wawasan, iaitu parti baharu pimpinan Hamzah yang dilancarkan semalam, menggunakan lambang PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Majlis pelancaran Wawasan semalam turut dirasmikan oleh Hadi sendiri.
Keputusan dibuat tanpa melalui Majlis Tertinggi PN
Menurut Marzuki, kedua-dua keputusan itu tidak dibuat dalam Majlis Tertinggi (MT) PN. Lebih ketara lagi, keputusan meneruskan Hamzah sebagai ketua pembangkang dilihat bertentangan dengan keputusan MT yang sebelum ini melantik Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar untuk menyandang jawatan itu bulan lalu.
Beliau turut menegaskan bahawa Hadi bukan ahli MT PN, namun tampak berkuasa membuat keputusan bagi pihak gabungan itu. Marzuki percaya MT akan tetap menyokong apa jua keputusan yang dibuat oleh presiden PAS.
“Tak mungkin pengerusi PN yang juga naib presiden PAS tidak memasukkan kedua-dua perkara di atas sebagai agenda dalam mesyuarat MT PN akan datang. Kedudukan beliau sebagai pengerusi PN pun bergantung kepada ihsan presiden PAS,” tulis Marzuki di Facebook.
Beliau turut menyindir dengan berkata Samsuri seolah-olah telah “dipecat” sebagai ketua pembangkang sebelum sempat memulakan tugasnya.
“Inilah ciri-ciri presiden PAS sebagai supreme leader,” tegasnya.
Hadi umumkan pendirian PAS di konvensyen Reset
Hadi membuat pengumuman berkenaan pada Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan, petang tadi. Berhubung pelantikan Hamzah, Hadi berkata PAS bersetuju selepas mendapat maklum balas daripada Ahli Parlimen partinya serta wakil rakyat yang dikaitkan dengan Hamzah.
Berhubung Wawasan pula, Hadi dipetik sebagai berkata pihaknya akan menghantar calon daripada parti itu untuk bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo PN, dalam sidang media selepas konvensyen berakhir.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.