
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, mengangkat sumpah bagi penggal kedua sebagai Ketua Menteri Sabah sekali gus menandakan berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Hajiji mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada jam 3.05 pagi.
Secara rasmi, GRS memenangi 29 kerusi, kurang lapan kerusi daripada 37 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang mempunyai 73 kerusi.
Bagaimanapun, Hajiji difahamkan mendapat sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, tiga ADUN dari Upko serta seorang ADUN Pakatan Harapan (PH), menjadikan beliau memiliki kira-kira 38 kerusi, iaitu kelebihan dua kerusi setakat ini.
Beliau juga dipercayai telah mendapatkan atau hampir memuktamadkan sokongan dua ADUN STAR dan seorang ADUN KDM, sekali gus berpotensi mengukuhkan lagi kedudukannya.
Selepas GRS, blok terbesar seterusnya ialah Warisan dengan 25 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan enam kerusi.
Terdahulu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan BN bersedia bekerjasama dengan parti-parti “sehaluan” bagi membentuk kerajaan negeri.
Jumlah rasmi kerusi mengikut parti ialah: GRS 29, Warisan 25, BN 6, Bebas 5, Upko 3, STAR 2, PN 1, KDM 1, PH 1.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.