
Dua puluh enam tahun lalu, pada Nov 2000, Hassan Karim ditugaskan sebagai ‘pengawal peribadi’ (bodyguard) ketika PKR mendapat maklumat Nurul Izzah Anwar akan diserang semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Lunas, Kedah.
Gadis 21 tahun itu ketika itu baru tamat belajar. Hassan, yang sudah lama bergelumang dalam politik sejak memimpin Parti Rakyat Malaysia, melihat potensi pada ‘Puteri Reformasi’.
Namun, ketika Nurul Izzah mengumumkan hasrat berundur daripada PKR dua bulan lalu, Hassan nyata kecewa. Beliau cuba menyembunyikan perasaan itu dengan berhati-hati memilih perkataan.
“Saya rasa finished (habis),” katanya perlahan, lalu berhenti seketika.
“Bila pemimpin missing in action (hilang) tinggalkan battle (pertempuran), ahli, pengikut, penyokong hilang keyakinan. Usahkan orang lain, saya sendiri yang menyokong beliau rasa terkilan, rasa tak senang.”
Kecewa tetapi tidak rasa dikhianati
Dalam wawancara dengan Malaysiakini Isnin lalu, Hassan ditanya sama ada beliau rasa dikhianati. Beliau menidakkannya.
Hassan menyokong kuat tindakan Nurul Izzah bertanding jawatan timbalan presiden PKR menentang penyandang, Rafizi Ramli. Kini beliau seperti kesal dengan hasilnya.
“Nak sebut (saya) rasa dikhianati, terlalu (berat) sangat. Tapi rasanya baik Rafizi (Ramli) teruskan (sebagai timbalan presiden PKR) kalau begitu. Saya rasa saya tersilap (sokong Izzah)?
“Perkataan yang saya boleh cakap kecewalah. Tetapi perkara sudah berlaku. Tak boleh undur ke belakang,” ujarnya.
Dalam hantaran Facebook pada 6 Ogos lalu, Nurul Izzah mengesahkan hasratnya berundur daripada jawatan nombor dua parti atas alasan melanjutkan pelajaran.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, kemudian berkata kepimpinan pusat menerima permohonan peletakan jawatan itu pada hari yang sama. Namun, parti memberikannya cuti sementara.
Pertembungan Nurul Izzah dan Rafizi dalam pemilihan PKR Mei lalu mencetuskan keretakan dalaman. Keretakan itu mendorong penubuhan parti serpihan, serta peletakan jawatan sekumpulan pemimpin kanan dan wakil rakyat PKR.
‘Pemimpin tak lari dari krisis’
Dalam podcast Explain Sikit terbitan KiniTV, yang dihoskan bersama oleh editor Malaysiakini Yiswaree Palansamy dan Jimadie Shah Othman, Hassan berkata pemimpin tidak harus lari dari krisis.
“…saya tak tahu apa yang berlaku di Kuala Lumpur, di ibu pejabat (parti). Saya jauh di Pasir Gudang dengan melihat Nurul Izzah ada peranan dan ada kebolehan dia.
“Tapi apabila berlaku sedikit krisis selepas pemilihan itu dan akhirnya Nurul Izzah meletakkan jawatan (cuti), saya rasa kecewa.
“Memang kecewa. Pemimpin lahir waktu krisis, bukan lari dari krisis. Jadi ujian itu (dia) gagal,” katanya.
Dari segi kualiti, Hassan, 75, menyifatkan Nurul Izzah sebagai bijak dan berwibawa, selain masih muda dan cergas.
“…dia menang dalam pilihan raya satu demi satu. Dan saya melihat sendiri dia satu penggal di parlimen. Dia (sebagai) ahli parlimen dia bagus.
“Dia cakap, dia buat persediaan. Dia ada substance (isu) bila bercakap. Kalau sekarang ini kita tengok (macam) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman),” katanya.
Sikap lunak terhadap Rafizi
Dalam isu Rafizi pula, Hassan masih bersikap lunak, walaupun bekas orang kanan Anwar itu kini sering menyerang pentadbiran perdana menteri.
Hassan yang biasanya keras terhadap “pengkhianat” masih melihat Rafizi sebagai “sahabat”. Ironinya, beliau terkenal dengan kelantangan mengkritik tidak kira siapa.
Mengenang era kritikan Rafizi sebelum keluar kerajaan, Hassan mendedahkan beliau sendiri pernah menasihati Rafizi supaya tidak terlalu keras terhadap Anwar.
“(Saya pesan pada Rafizi) jangan keras sangat. Lie low dulu, dapatkan sokongan akar umbi PKR. Dan pemilihan parti yang akan datang kalau Anwar dah sampai (habis) penggal, dia Rafizi boleh bersama Nurul Izzah.
“Rafizi presiden, Nurul Izzah timbalan,” katanya.
Hassan mengakui Nurul Izzah, di sebalik segala potensi, belum bersedia menggalas jawatan nombor satu parti menggantikan ayahnya.
“Sebab saya melihat Nurul Izzah timbalan OK-lah. Tapi (kalau) pada waktu itu dia nak jadi presiden saya rasa dia belum sampai tahap itu.
“Tapi Rafizi dah boleh. Kedua-duanya masih muda, Rafizi calon presiden dan Nurul Izzah timbalan, tapi saya diberitahu Rafizi sudah sampai satu tahap dia no return (tak akan berpatah balik),” kata peguam itu.
Anwar jadi ‘panglima’ tanpa pahlawan
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Hassan melihat Anwar sebagai presiden PKR akan menjadi panglima perang dalam pertarungan terakhirnya. Ini selepas Nurul Izzah berundur dan Rafizi keluar parti.
“Saya tengok di Johor dan Negeri Sembilan, panglimanya Anwar, kasihan dia. Pahlawan-pahlawan dia tak sampai level pengaruhnya seperti Rafizi. Ini satu hakikat.
“Kalau PRU akan datang, Anwar sendiri yang akan jadi pemimpin battle (pertempuran) yang terakhirlah,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Hassan ditanya mengenai hala tuju Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Beliau berpendapat gabungan itu sebaiknya fokus pada kerjasama sesama mereka.
Katanya, saf perpaduan antara PKR dan Amanah perlu dirapatkan dan diutamakan. Gabungan itu tidak wajar dilihat mengabaikan prinsip semata-mata untuk menang kerusi dengan mudah.
“Dah jelas sangat bahawa DAP tak boleh lupa dengan tragedi ketika Bersatu dalam PH dulu, jadi maknanya PH saya rasa kalau di Johor kita boleh bertanding Johor, dan Negeri Sembilan, terima sajalah.
“Orang (parti) pun tak nak sangat dengan PH ini, Umno ke, di peringkat negeri. Jadi boleh baca bahasa badan parti-parti yang lain. Kalau orang tak hormat PH sebagai satu kekuatan yang penting.
“Ini lebih baik daripada PKR dan DAP bersalah faham, DAP dengan Amanah bersalah-salah faham, dah la kita tak kuat. Kalau tidak, rakyat nampak sangat kita ini tak ada prinsip, hanya nak menang pilihan raya begitu mudah,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.