
Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu diberitahu bahawa ibu kepada Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, menolak bedah siasat ke atas anaknya walaupun telah menerima penjelasan daripada pihak hospital.
Dr Logaraj Ratha, 33, dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, berkata mengikut polisi hospital, mayat Zara diserahkan kepada ibunya selepas Noraidah menandatangani borang “Deklarasi Penolakan Bedah Siasat Atas Permintaan Sendiri”.
“Saya jelaskan kepadanya bahawa tanpa bedah siasat, keluarga tidak akan mendapat laporan rasmi punca kematian atau membuat tuntutan pada masa depan. Noraidah memahami dan menandatangani dokumen itu dengan disaksikan kakak iparnya, Nur Shira Abdullah,” katanya kepada Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Logaraj berkata, pada 17 Julai, kematian Zara dilaporkan dari wad neurosurgeri sebelum mayat dipindahkan ke jabatan forensik. Memandangkan kes ini melibatkan siasatan polis, beliau menghubungi Inspektor Wong Yew Zhung dari Ibu Pejabat Polis Daerah Papar.
Wong mengesahkan punca kematian Zara adalah kecederaan otak traumatik teruk dengan ensefalopati hipoksik iskemia. Beliau kemudian memaklumkan polis tidak akan mengeluarkan Borang Pol.61 (Permohonan Bedah Siasat), dan hospital boleh menyerahkan mayat kepada keluarga.
“Saya tetap menerangkan kepada Noraidah tentang kepentingan bedah siasat klinikal, tetapi beliau memilih untuk menolaknya,” tambahnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.