
Kerajaan Malaysia digesa mendapatkan penjelasan rasmi daripada Filipina berhubung sumber sebenar bekalan sebanyak 329,000 tong diesel yang dilaporkan tiba di negara itu dan didakwa berasal dari Malaysia.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil, berkata kerajaan tidak seharusnya sekadar menafikan dakwaan tersebut tanpa memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat.
“Kerajaan perlu bertanya kepada Filipina diesel itu datang dari kilang penapisan mana dan menjelaskan perkara itu kepada rakyat. Penafian semata-mata tidak mencukupi kerana isu ini serius,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Percanggahan kenyataan cetus persoalan
Media Filipina sebelum ini melaporkan sebanyak 329,000 tong atau kira-kira 52 juta liter diesel dari Malaysia dihantar ke negara itu sebagai sebahagian usaha memperkukuh bekalan domestik, susulan penghantaran 142,000 tong dari Jepun pada 26 Mac.
Bagaimanapun, Majlis Tindakan Ekonomi Negara mengesahkan diesel yang dihantar itu bukan berasal dari Malaysia, sekali gus menimbulkan percanggahan dengan laporan pihak Filipina.
Dalam masa sama, Petroliam Nasional Bhd menafikan sebarang penglibatan dalam penghantaran tersebut dan menegaskan syarikat itu tidak pernah memeterai perjanjian membekalkan diesel kepada mana-mana pihak di Filipina.
Isham turut mempersoalkan perbezaan kenyataan antara pihak terlibat.
“Jika Petronas menafikan dan kerajaan menyatakan diesel itu bukan dari Malaysia, adakah maklumat yang diberikan oleh Filipina tidak tepat atau terdapat pihak lain yang tersilap?” katanya.
Seruan perjelas kekeliruan dan betulkan fakta
Ahli Parlimen Putrajaya, Mohd Radzi Md Jidin, turut menggesa kerajaan segera merungkaikan kekeliruan berhubung dakwaan penghantaran diesel tersebut.
Menurutnya, jika kenyataan pihak Filipina tidak tepat, kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah untuk meminta pembetulan dibuat.
“Kerajaan Malaysia melalui MTEN menyatakan diesel itu bukan dari negara ini, manakala pihak Filipina mengesahkan ia dari Malaysia. Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai kesahihan maklumat,” katanya.
Beliau menambah, jumlah diesel yang dilaporkan, iaitu lebih 52 juta liter, merupakan angka yang besar dan tidak boleh dipandang ringan.
Nasihat elak spekulasi, rujuk sumber rasmi
Sementara itu, Pasukan Pengurusan Krisis MTEN menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan hanya merujuk kepada sumber rasmi kerajaan berhubung isu berkenaan.
Petronas dalam kenyataan berasingan menegaskan keutamaan syarikat adalah memastikan bekalan bahan api domestik kekal stabil dan mencukupi melalui kerjasama rapat dengan kerajaan serta pihak berkepentingan.
Dalam konteks global, laporan mengenai penghantaran diesel itu turut dikaitkan dengan usaha Filipina menambah bekalan bahan api ketika pasaran minyak berdepan ketidaktentuan susulan perkembangan di Asia Barat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.