
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, menjelaskan beliau tidak hadir pada Majlis dan Istiadat Pelantikan serta Mengangkat Sumpah Menteri Besar di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam, kerana notis jemputan yang diterimanya terlalu singkat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, pihaknya menerima notis jemputan berkenaan daripada pihak Protokol negeri pada jam 4.50 pagi.
“Benda itu, jemputan majlis, last minit. Saya terima 4.50 pagi daripada pihak Protokol. Saya buka dan baca lepas solat Subuh, sedangkan saya sudah atur satu majlis lain di kawasan yang memerlukan kehadiran saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jalaluddin mengulas mengenai ketidakhadirannya dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah itu.
Ketidakhadiran beliau dalam majlis berkenaan mencetuskan tanda tanya serta pelbagai reaksi dalam kalangan sesetengah pihak, terutamanya netizen di media sosial.
Ismail Lasim rasmi Menteri Besar baharu
Semalam, ADUN Juasseh, Ismail Lasim, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut berangkat menyaksikan istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, bersama kedua-dua anakanda Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.
Hadir sama Undang Luak Sungei Ujong, Muhammad Faris Johari, dan Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid, selain Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.
Dalam sidang media di Resort Seri Menanti semalam, Ismail menepis tanggapan segelintir pihak berhubung ketidakhadiran beberapa ADUN pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar itu.
Ismail menegaskan bahawa jemputan kepada semua ADUN dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, namun notis yang diterima pada saat akhir menyebabkan sesetengah daripada mereka berkemungkinan mempunyai komitmen lain yang telah diatur terlebih dahulu.
Fokus kepada agenda BN di Negeri Sembilan
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata perkara yang paling penting ialah agenda Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan telah dapat direalisasikan.
“Negeri Sembilan sudah boleh ditadbir dengan baik apabila diberi mandat dua pertiga oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
“Maka tanggungjawab kita semua sebagai wakil rakyat, sebagai Menteri Besar dan ahli EXCO, untuk memastikan semua manifesto yang dijanjikan kepada rakyat ditunaikan.
“Urus tadbir kita mesti berkali ganda lebih baik daripada Pakatan Harapan (PH),” katanya yang juga bekas EXCO Kanan kerajaan negeri.
Jalaluddin berkata dalam jiwanya tidak ada rasa kecewa dan putus asa kerana matlamat utamanya dalam PRN telah berjaya dicapai.
“Matlamat utama saya untuk mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan yang huru-hara telah berjaya, dan sekarang telah diberi mandat oleh rakyat. Jadi buat apa saya kecewa atau putus asa.
“Saya rasa bersyukur berlipat kali ganda kepada Allah SWT di atas kejayaan ini,” katanya.
Terdahulu, Jalaluddin merupakan antara tiga nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, oleh Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, ketika menghadap baginda di Istana Hinggap Negeri Sembilan pada malam keputusan PRN.
Pada PRN kali ini, Jalaluddin mengatasi dua lagi pencabar iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Umry Abdul Khois, dan calon BERSATU, Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus, dengan majoriti 2,790 undi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.