
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merakamkan ucapan takziah atas pengorbanan Pegawai Bomba Hong Kong, Ho Wai-ho yang gugur ketika memadam kebakaran lima peringkat di Wang Fuk Court, Tai Po.
Dalam satu hantaran di Facebook, JBPM menyifatkan Ho sebagai wira sejati yang terkorban ketika melindungi nyawa dan keselamatan komuniti.
JBPM berkata mendiang menunjukkan keberanian luar biasa, semangat pengorbanan dan profesionalisme tinggi ketika menjalankan tugas, menjadi teladan buat semua anggota bomba dan penyelamat.
Menurut jabatan itu, setiap kali anggota bomba memasuki bangunan yang terbakar, mereka mempertaruhkan nyawa demi keselamatan orang lain, dan kehilangan Ho mengingatkan betapa besarnya risiko yang dihadapi petugas keselamatan setiap hari.
JBPM turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan bomba Hong Kong dan berkata semangat keberanian Ho akan terus menjadi inspirasi kepada anggota bomba di seluruh dunia.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.