
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang memandu kereta sementara pasangannya didapati tidak memakai tali pinggang keledar dan duduk menghadapnya dalam keadaan yang tular di media sosial.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Tindakan akan diambil terhadap pemandu dan penumpang kereta terbabit. Siasatan masih berjalan dan selepas selesai, kita akan mengeluarkan saman kepada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Video tular di Threads undang kecaman netizen
Kejadian itu mula mendapat perhatian awam selepas video berkenaan tular di platform Threads, menunjukkan pasangan tersebut di dalam kereta dengan wanita terbabit melakukan aksi manja tanpa memakai tali pinggang keledar.
Lebih membimbangkan, wanita itu turut duduk bersandar pada papan pemuka kereta, sekali gus mengundang kecaman meluas daripada pengguna media sosial.
Saman menanti pemandu dan penumpang
JPJ menegaskan bahawa siasatan akan diselesaikan sebelum saman dikeluarkan kepada kedua-dua pihak yang terlibat, iaitu pemandu mahupun penumpang kereta berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.