
Pemberontak di wilayah paling timur Indonesia, Papua, menembak mati seorang juruterbang warga Amerika Syarikat dan membakar sebuah pesawat awam, semalam.
Tindakan ganas itu disifatkan oleh jurucakap kumpulan pemisah tempatan sebagai satu mesej jelas kepada kerajaan Amerika Syarikat dan Indonesia.
Konflik bersenjata berintensiti rendah yang berpanjangan di Papua Barat, yang kaya dengan sumber semula jadi, sudah lama tercetus akibat tuntutan kemerdekaan daripada Indonesia.
Serangan oleh kumpulan pejuang kemerdekaan di wilayah bergolak itu dilaporkan semakin kerap, dipercayai susulan peningkatan keupayaan mendapatkan bekalan senjata yang lebih baik.
Sebby Sambom, jurucakap Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat, iaitu sebuah kumpulan pemisah bersenjata, mendakwa anggotanya menembak mati juruterbang warga Amerika Syarikat, Nicholas F Gosselin.
Beliau berkata tindakan melepaskan tembakan dan membakar pesawat berkenaan dilakukan sejurus selepas pengangkutan udara itu mendarat di wilayah Yahukimo, Highland Papua.
Beliau turut mendakwa pesawat itu sering digunakan untuk membawa anggota tentera Indonesia, selain didakwa tidak mematuhi amaran terakhir yang dikeluarkan oleh kumpulan itu sebelum ini.
Pihak berkuasa Indonesia belum sahkan serangan
Sementara itu, jurucakap operasi bersama polis dan tentera Indonesia di Papua, Yusuf Sutejo, mengesahkan sebuah pesawat yang dikendalikan juruterbang warga Amerika Syarikat ditemukan terbakar di sebuah lapangan terbang tempatan di wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada pesawat itu diserang kumpulan pemberontak atau sama ada juruterbang tersebut benar-benar terbunuh, manakala semua tujuh penumpang dalam pesawat itu disahkan warga tempatan Papua.
Sebby mendakwa serangan di daerah Balinggama, Yahukimo, itu merupakan mesej kepada kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat kerana gagal menangani punca konflik antara tentera Indonesia dan kumpulan pemberontak itu.
Berdasarkan video yang dihantar oleh kumpulan itu, pemberontak dilihat membawa senjata api serta kapak, selain mengibarkan bendera Bintang Kejora yang menjadi simbol tuntutan kemerdekaan ketika mengumumkan serangan tersebut.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Indonesia memaklumkan pesawat milik syarikat penerbangan AMA yang membawa barangan keperluan ke kawasan pedalaman itu terputus komunikasi selepas mendarat, manakala Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta masih belum memberikan sebarang maklum balas.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.