
Mahkamah Korea Selatan pada Rabu (28 Jan) menjatuhkan hukuman penjara satu tahun lapan bulan (20 bulan) terhadap bekas Wanita Pertama, Kim Keon Hee. Beliau didapati bersalah menerima suapan berupa beg tangan Chanel dan loket berlian daripada pegawai Unification Church sebagai balasan kepada bantuan politik.
Walaupun disabitkan kesalahan atas tuduhan rasuah, mahkamah membebaskan Kim, 53, daripada tuduhan manipulasi harga saham dan pelanggaran Akta Dana Politik. Keputusan ini jauh lebih rendah berbanding tuntutan asal pendakwa raya yang memohon hukuman penjara 15 tahun bagi kesemua pertuduhan. Hakim dalam keputusannya menyatakan bahawa walaupun jawatan Wanita Pertama tidak mempunyai kuasa rasmi, individu tersebut adalah figura simbolik negara yang tidak sepatutnya menjadi “contoh buruk kepada masyarakat.”
Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan denda sebanyak 12.8 juta won (kira-kira RM43,000) dan merampas kalung berlian yang diterimanya. Kim telah berada dalam tahanan sejak Ogos lalu bagi membantu siasatan.
Suami beliau, bekas Presiden Yoon Suk Yeol yang disingkirkan pada April 2025, juga sedang menghadapi lapan perbicaraan termasuk pertuduhan pemberontakan (insurrection) susulan cubaan undang-undang tentera pada Disember 2024. Pihak pendakwa raya dilaporkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tidak bersalah bagi pertuduhan manipulasi saham tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.