
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggantung pegawai-pegawainya yang terlibat dan ditahan dalam serbuan “Op Songsang” di gim dan sauna di Chow Kit pada Jumaat lalu, sehingga siasatan selesai.
KPM berkata langkah ini memastikan semua individu terlibat tidak lagi ditempatkan di mana-mana institusi pendidikan di bawah kementerian sehingga proses siasatan dimuktamadkan.
Kementerian menegaskan ia memandang serius penglibatan beberapa pegawai dalam aktiviti tidak bermoral seperti dilaporkan, sambil menyatakan bahawa KPM tidak bertolak ansur terhadap salah laku tersebut. Siasatan dalaman sedang dijalankan.
KPM turut mengarahkan semua ketua jabatan di bawahnya memperkukuh pemantauan dan memastikan aktiviti tidak bermoral dibendung di setiap peringkat.
Dalam serbuan Jumaat lalu, 17 penjawat awam adalah antara 208 individu yang ditahan. Polis turut merampas kondom dan beberapa barang lain yang dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.