
Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat dakwaan bahawa kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijual secara dalam talian selepas beberapa tangkap layar tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata walaupun tiada laporan rasmi diterima, pihaknya menyedari dakwaan berkenaan.
“Ini dalam tindakan Lembaga Peperiksaan dan saya yakin mereka ada prosedur yang betul,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (1) hari ini.
Sebelum ini, beberapa tangkap layar tular menunjukkan individu tertentu menawarkan soalan SPM yang didakwa bocor dengan harga serendah RM499 bagi setiap mata pelajaran, beserta jaminan bayaran balik sekiranya calon tidak memperoleh keputusan cemerlang.
Dr Azam menegaskan bahawa kertas soalan SPM berada dalam kawalan ketat dengan semua prosedur keselamatan dipatuhi termasuk di negeri yang terjejas banjir.
“Kita sudah mula mengambil tindakan dan sedang menentukan lokasi simpanan kertas soalan. Setidak-tidaknya kita letakkan di lokap-lokap balai polis,” katanya.
Seramai 413,372 calon menduduki SPM 2025, meliputi calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama bantuan kerajaan termasuk MRSM dan Maktab Tentera Diraja, sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta berdaftar, sekolah agama rakyat dan calon persendirian.
Jadual SPM 2025 bermula hari ini dengan peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 pada 8.15 pagi, diikuti Pendidikan Seni Visual (Teori Seni Kertas 1) jam 11.45 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada 2.30 petang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.