
Peletakan jawatan beberapa ahli baru-baru ini tidak menjejaskan keabsahan mesyuarat majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu kerana kehadiran masih memenuhi syarat kuorum, menurut Naib Presiden, Radzi Jidin.
Beliau menerangkan bilangan paling kecil bagi membolehkan mesyuarat MPT diadakan secara rasmi dan sah adalah 12 daripada 23 ahli pada masa ini, menurut perlembagaan parti yang menetapkan cukup bilang mesyuarat adalah satu per dua daripada jumlah keseluruhan ahli MPT.
“Justeru, mesyuarat MPT Bersatu dan pengurusan serta pentadbiran parti boleh berjalan seperti biasa mengikut kehendak perlembagaan parti,” menurut kenyataan tersebut.
Isu kuorum dibangkitkan Kiandee
Penjelasan ini menyusuli kenyataan Naib Presiden, Ronald Kiandee, yang menyoal sama ada MPT memenuhi kuorum untuk mengadakan mesyuarat, selepas dikatakan 27 daripada asalnya 47 ahli keluar parti, letak jawatan, dipecat atau digantung.
Kiandee, yang digantung keahlian pada Mac kerana didakwa melanggar perlembagaan parti serta kod etika dan tatakelakuan ahli, menimbulkan isu ini selepas Presiden, Muhyiddin Yassin, berkata Bersatu masih kukuh dan utuh, walaupun beberapa ahli MPT meletak jawatan.
Antara yang meletak jawatan adalah Ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, katanya bagi memberi tumpuan kepada pentadbiran kerajaan negeri selaku menteri besar.
Kemelut kepimpinan Muhyiddin dan Hamzah Zainudin
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa ahli dan pemimpin Bersatu dipecat atau digantung keahlian menyusuli kemelut kepimpinan antara Muhyiddin dan bekas timbalannya, Hamzah Zainudin.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.