
Lebih 2.2 juta kenderaan dijangka memasuki Pulau Pinang bermula hari ini sempena sambutan Krismas dan cuti sekolah hujung tahun, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail.
Beliau berkata anggaran itu dibuat berdasarkan trend aliran trafik semasa musim perayaan utama sebelum ini, selain penganjuran Pesta Pulau Pinang yang bermula pada 6 Dis dan berlangsung sehingga 10 Jan 2026.
Menurutnya, polis menjangkakan sekitar dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara sepanjang seminggu tempoh puncak perayaan, termasuk yang menuju ke Pulau Pinang. Berdasarkan trend musim perayaan utama 2025, negeri itu lazimnya menerima kira-kira 2.2 juta kenderaan melalui Jambatan Pulau Pinang pertama dan kedua.
Beliau berkata kesesakan lalu lintas dijangka berlaku di beberapa laluan, khususnya di pintu masuk Jambatan Pulau Pinang, dengan lonjakan trafik dijangka hari ini dan esok susulan pengumuman diskaun tol 50% oleh kerajaan.
Keadaan sama dijangka berlaku di susur keluar Juru dan Sungai Dua di Lebuhraya Utara-Selatan, manakala kawasan George Town serta Jalan Air Itam dan Jalan Green Lane, laluan utama ke Batu Ferringhi, turut dijangka mengalami peningkatan trafik berikutan ketibaan pelancong.
Sehubungan itu, Azizee berkata polis Pulau Pinang akan bersiap siaga dan menempatkan anggota tambahan di lokasi panas serta kawasan hitam sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau berkata polis turut melancarkan Ops Lancar bagi membolehkan tindakan pantas diambil terhadap sebarang insiden dalam tempoh 24 jam. Operasi khas itu diaktifkan di seluruh negeri, khususnya di lebuh raya, jalan bandar dan jalan persekutuan, bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh cuti Krismas.
Beliau menambah, polis negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang turut meningkatkan rondaan dan kehadiran anggota di kawasan tumpuan pelancong.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan waktu puncak serta berwaspada terhadap risiko hujan lebat, termasuk kejadian pokok tumbang, khususnya di kawasan bandar seperti Jalan Penang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.