
Parti Islam Se-Malaysia mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Kristian sempena sambutan Krismas tahun ini, dengan harapan ia menjadi detik untuk memperkukuh hubungan, memperbaharui harapan serta menegaskan komitmen kepada budaya kasih sayang dan muhibah.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, kepelbagaian di Malaysia merupakan satu amanah yang mesti dilindungi dengan ikhlas dan bijaksana. Walaupun berlainan agama dan kepercayaan, rakyat perlu bersatu dalam membina sebuah negara yang adil, selamat dan bermaruah untuk semua.
Menurut beliau, nilai yang dimuliakan semasa sambutan Krismas seperti kasih sayang, kemaafan, tawaduk dan khidmat bakti adalah nilai sejagat yang dikongsi oleh semua agama dan kepercayaan, termasuk Islam.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa ketika dunia berdepan dengan konflik dan salah faham yang semakin meruncing, Malaysia harus kekal sebagai contoh kehidupan bersama yang sihat dan matang.
Katanya, keharmonian tidak dicapai melalui keseragaman, sebaliknya melalui kesediaan dan keikhlasan untuk mendengar, memahami serta menghormati hak dan maruah semua warga negara.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.