
Seorang pelajar yang cedera parah dalam insiden letupan di kafeteria HELP University di Bukit Damansara masih tidak sedarkan diri, manakala dua lagi mangsa utama terus menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, setakat ini tiga mangsa masih dirawat, membabitkan seorang penyelia kontraktor berusia 54 tahun, seorang pelajar berusia 19 tahun dan seorang pekerja warga Indonesia berumur 22 tahun.
Menurutnya, pelajar berkenaan, difahamkan penuntut jurusan perundangan, mengalami kecederaan serius dan masih dalam rawatan. Penyelia kontraktor mengalami kecederaan melecur, manakala pekerja asing terbabit berada dalam keadaan stabil serta masih dipantau.
“Enam lagi mangsa yang sebelum ini menerima rawatan telah dibenarkan keluar hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, pihak pengurusan HELP University merakamkan ucapan takziah dan menyatakan keprihatinan terhadap semua mangsa yang terjejas. Canselor universiti, Paul Chan sebelum ini berkata pihaknya amat kesal dengan insiden berkenaan dan memberi jaminan kebajikan mangsa akan terus diberi perhatian.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pekerja yang maut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan unit penyaman udara, serta mendoakan kesembuhan segera kepada pelajar yang cedera.
Insiden yang berlaku pada Isnin itu dipercayai berpunca daripada kegagalan melibatkan sistem pemampat penyaman udara, mengakibatkan seorang kontraktor luar maut dan sembilan individu lain cedera, termasuk empat pelajar.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan letupan berlaku di bilik pemampat penyaman udara ketika kerja penyelenggaraan sedang dijalankan dan memusnahkan kira-kira satu pertiga ruang berkenaan.
Sementara itu, jenazah pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) yang maut dalam kejadian berkenaan telah dituntut keluarganya pada Selasa di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.
Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Utar, Prof Chang Yoong Choon yang mewakili keluarga mangsa berkata, mereka menghargai liputan media berhubung insiden berkenaan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun ketiga kejuruteraan mekanikal yang dijadualkan menamatkan latihan industri minggu ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.