
Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya pada awal pagi.
Perkara tersebut disahkan oleh setiausaha akhbarnya, Sufi Yusoff, ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
“Ya, beliau dimasukkan ke IJN akibat terjatuh dan kini masih dalam proses pemantauan secara keseluruhan,” katanya.
Dr Mahathir telah dibawa dengan ambulans dan tiba di IJN sekitar jam 9.30 pagi dalam keadaan sedar.
Difahamkan, beliau terjatuh awal pagi tadi dan situasi seperti itu lazimnya memerlukan pemerhatian di hospital.
Pada 13 Julai 2025, bekas perdana menteri yang kini berusia 100 tahun itu pernah dikejarkan ke IJN akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada jam 4.45 petang hari sama selepas dimasukkan sekitar jam 10 pagi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.