
Bekas Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, mempersoalkan dakwaan PAS bahawa Bersatu bersikap rakus dalam pembahagian kerusi pilihan raya.
Marzuki, yang mewakili Bersatu dalam rundingan kerusi sejak zaman Pakatan Harapan (PH) 1.0 hingga era Perikatan Nasional (PN), menegaskan bahawa pembahagian kerusi antara parti anggota sentiasa mengikut proses yang teliti dan berdasarkan formula yang telah dipersetujui bersama.
“Proses bermula di peringkat negeri, di mana wakil parti akan berbincang terlebih dahulu mengenai kerusi yang akan ditandingi, dan biasanya 50 peratus rundingan selesai di peringkat ini. Baki 50 peratus yang ada pertindihan antara parti anggota kemudiannya dibawa ke Jawatankuasa Rundingan Kerusi di peringkat pusat untuk diselesaikan,” katanya melalui kenyataan di Facebook.
Dakwaan Marzuki itu merupakan reaksi kepada pendedahan PAS sehari sebelumnya, yang menyenaraikan beberapa punca keputusan kepimpinan pusat parti memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, termasuk dakwaan cubaan melemahkan dan memperbodohkan PAS. Presiden PAS Hadi Awang turut dilaporkan menyatakan bahawa bentuk kerjasama paling longgar bersama Bersatu sebelum ini adalah bertujuan mengambil alih kerajaan menerusi akuan berkanun.
Formula tiga peringkat dalam pembahagian kerusi PN
Marzuki menjelaskan bahawa pembahagian kerusi menggunakan tiga pertimbangan utama.
Pertama, kerusi penyandang kekal menjadi hak parti yang memegangnya. Sebagai contoh, Pagoh kekal milik Bersatu manakala Marang kekal milik PAS, dan kerusi-kerusi ini tidak akan dipertikaikan.
Kedua, pembahagian kerusi mengambil kira pengaruh dan kekuatan setiap parti. PAS diberi lebih banyak kerusi di negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah, memandangkan pengaruh dan jentera parti itu amat kukuh di sana. Kerusi-kerusi ini dikategorikan sebagai Gred A PN.
Di negeri-negeri Pantai Barat pula, jumlah kerusi yang ditandingi Bersatu dan PAS adalah hampir seimbang kerana pengaruh kedua-dua parti di kawasan tersebut tidak jauh berbeza.
“Ada kerusi pengaruh PAS lebih kuat dan ada kerusi pengaruh Bersatu lebih kuat. Ini kebanyakannya kerusi-kerusi Gred B PN,” katanya.
Bersatu imbangi imej PAS demi tampilkan PN sebagai parti sederhana
Marzuki turut menjelaskan faktor ketiga, iaitu goodwill berdasarkan kekuatan jentera parti. Walaupun jentera PAS secara umumnya lebih kuat daripada Bersatu, Bersatu tetap diberikan laluan untuk bertanding di beberapa kerusi di mana jentera PAS lebih dominan.
Ini bertujuan menampilkan imej PN sebagai sebuah parti nasional yang sederhana, memandangkan Bersatu berperanan mengimbangi imej Islamis-konservatif PAS dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama.
“Ini formula yang digunakan oleh Jawatankuasa Pembahagian Kerusi PN. Ini juga formula yang memberikan kemenangan besar kepada PAS dalam PRU15 dan Pilihan Raya Negeri 2023, seperti diakui oleh Presiden PAS sendiri,” tegasnya.
Muhyiddin tidak pernah salah guna kuasa watikah
Marzuki menambah bahawa kira-kira 95 peratus isu berkaitan kerusi diselesaikan melalui Jawatankuasa Pembahagian Kerusi PN, manakala baki lima peratus yang bertindih dibawa ke Majlis Presiden untuk keputusan muktamad.
Setelah Majlis Presiden membuat keputusan, senarai pembahagian kerusi disediakan dan ditandatangani oleh semua presiden parti anggota.
“Muhyiddin sebagai Pengerusi PN menandatangani watikah calon berdasarkan senarai yang telah dipersetujui oleh Majlis Presiden. Walaupun kuasa memberikan watikah ada di tangannya, beliau tidak pernah memberikan watikah kepada calon Bersatu sekiranya kerusi itu telah dipersetujui untuk ditandingi oleh PAS,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perkara sedemikian tidak pernah berlaku, dan siapa calonnya ditentukan oleh PAS sendiri secara adil dan saksama, sekali gus mempersoalkan kesahihan dakwaan bahawa Bersatu bersikap rakus dalam pembahagian kerusi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.