
Perhimpunan agung MCA telah meluluskan usul menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Perwakilan juga bersetuju bahawa jika mana-mana komponen Barisan Nasional (BN) memilih untuk bekerjasama dengan DAP pada PRU16 walaupun MCA menolak, parti itu akan menentukan haluan politiknya sendiri.
Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata parti itu tidak boleh bekerjasama dengan DAP kerana perbezaan ideologi yang besar antara kedua-dua parti.
“Jika mana-mana komponen BN bekerjasama dengan DAP dalam apa cara sekali pun pada PRU16, ia membuktikan semangat BN sudah mati,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.
Pada Julai lalu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu merancang untuk meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 walaupun ada desakan supaya BN bergerak secara solo.
BN yang diketuai Umno memainkan peranan penting membolehkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan perpaduan selepas Parlimen tergantung susulan keputusan PRU15 pada 2022.
PH memenangi 81 kerusi Parlimen manakala BN memperoleh 30 kerusi, termasuk 25 kerusi oleh Umno, iaitu pencapaian terburuk BN dalam sejarah pilihan raya umum. MCA pula mempertahankan dua kerusi yang disandangnya sebelum ini.
Perwakilan MCA turut meluluskan usul menggesa Anwar menggugurkan Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan dan menggantikannya dengan pemimpin yang berkeupayaan melaksanakan reformasi.
Wee berkata Fadhlina tidak mempunyai iltizam politik untuk melaksana reformasi di kementeriannya dan gagal menangani isu buli serta keganasan di sekolah.
Perhimpunan agung itu juga mengecam keras “golongan ekstremis” dalam parti kerajaan dan pembangkang yang didakwa memanipulasi isu kaum dan agama demi agenda politik.
“Tindakan yang mencetuskan perpecahan kaum dan menjejaskan perpaduan negara adalah sangat tidak bertanggungjawab,” menurut usul tersebut.
Satu lagi usul yang diluluskan menggesa kerajaan menghidupkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi memastikan sistem cukai negara yang lebih cekap, adil, stabil dan telus.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.