
Dokumen dalaman Meta yang diperoleh Reuters mendedahkan syarikat itu menjangkakan sekitar 10% hasil tahunan atau AS$16 bilion pada 2024 berpunca daripada iklan berkaitan penipuan dan barangan diharamkan.
Menurut laporan itu, Meta gagal selama sekurang-kurangnya tiga tahun mengawal lambakan iklan penipuan yang mendedahkan pengguna Facebook, Instagram dan WhatsApp kepada skim pelaburan palsu, kasino haram dan produk perubatan tidak sah.
Satu dokumen bertarikh Disember 2024 menyatakan pengguna melihat kira-kira 15 bilion iklan berisiko tinggi setiap hari, menjana hasil tahunan kira-kira AS$7 bilion.
Meta hanya menyekat pengiklan jika sistem automatiknya meramalkan 95% kemungkinan penipuan; jika keyakinan lebih rendah, kadar iklan dikenakan lebih tinggi sebagai hukuman.
Dokumen itu turut menyebut bahawa pengguna yang menekan iklan penipuan akan menerima lebih banyak kandungan serupa disebabkan algoritma pemperibadian Meta.
Bekas penyiasat keselamatan Meta, Sandeep Abraham, berkata kepada Reuters bahawa tindakan Meta menerima hasil daripada sumber yang disyaki menipu menunjukkan kelemahan pengawasan industri iklan teknologi.
“Jika bank tidak dibenarkan meraih untung daripada penipuan, syarikat teknologi juga tidak patut dibenarkan,” katanya.
Jurucakap Meta, Andy Stone, menolak dakwaan itu, menyatakan dokumen tersebut “memaparkan pandangan selektif yang memesongkan pendekatan Meta terhadap penipuan.”
Beliau berkata anggaran 10.1% itu “terlalu luas” dan termasuk banyak iklan sah.
Stone menegaskan Meta telah mengurangkan aduan iklan penipuan global sebanyak 58% dan memadam lebih 134 juta kandungan penipuan setakat 2025.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.