
Pihak berkuasa Thailand berjaya menggagalkan cubaan dua lelaki menyeludup dadah ke Malaysia apabila merampas1.8 juta pil methamphetamine bernilai RM14 juta pada1 November lalu.
Komander Tentera Wilayah Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok, berkata rampasan itu dibuat di kawasan berhampiran sebuah rumah di Tambon Nanak, berhampiran daerah Tak Bai, yang bertentangan dengan Pengkalan Kubor, Tumpat.
Beliau menjelaskan sepasukan khas penyiasatan narkotik daripada polis wilayah Narathiwat menyerbu kawasan hutan kecil di daerah Tak Bai kira-kira jam8.40 malam (waktu Thailand) selepas menerima maklumat risikan.
“Tindakan itu dilakukan selepas polis menerima maklumat risikan bahawa satu rangkaian pengedaran dadah menggunakan kawasan hutan kecil di Tambon Nanak sebagai tempat simpanan sementara sebelum menyeludup dadah ke Malaysia,” kata Naratip.
Semasa serbuan, polis menemui dua lelaki warga Thailand di lokasi berkenaan. Pemeriksaan lanjut menemui beberapa beg plastik hitam berisi methamphetamine yang disembunyikan dalam hutan itu.
Polis menahan kedua-dua suspek dan merampas jumlah dadah berkenaan, yang menurut pihak berkuasa bernilai RM14 juta. Dadah dan suspek kemudian diserahkan kepada Pusat Kawalan dan Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah Narathiwat (NSCC) untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran yang berpangkalan di Tachilek, Myanmar, dan didakwa menggunakan perkhidmatan penghantaran bungkusan untuk menyeludup dadah ke Malaysia.
Pihak polis Thailand kini sedang mengenal pasti anggota sindiket lain termasuk dalang utama di sebalik operasi penyeludupan ini, menurut Naratip.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.