
Ribut Tropika Senyar dilaporkan tidak lagi berada di Malaysia dan kini sudah lemah, dengan kesan yang tinggal hanyalah hujan, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Boleh kata dah mati. Kesannya yang tinggal cuma hujan sahaja,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip kepada BH.
Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan ribut itu telah mendarat di kawasan pantai antara Selangor dan Negeri Sembilan pada jam 12.30 tengah malam tadi, dengan kelajuan angin maksimum mencecah 65 kilometer sejam (km/j).
Pada petang ini, MetMalaysia mengeluarkan nasihat berkaitan satu lekukan tropika yang dikesan pada jam 11 pagi di latitud 4.0 darjah utara dan longitud 104.0 darjah timur.
Dalam kenyataan itu, MetMalaysia berkata lekukan tropika berkenaan bergerak ke arah timur Semenanjung dengan kelajuan kira-kira 5 km/j dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 56 km/j.
“Jarak lekukan tropika itu dari bandar terdekat adalah kira-kira 81 kilometer ke timur laut Kuantan, Pahang.
“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.
Mohd Hisham berkata lekukan tropika baharu itu dikesan di perairan luar Kuantan dan memberi impak di kawasan pesisir pantai antara Pahang dan Terengganu.
Namun, jelasnya, lekukan berkenaan dijangka bergerak menjauhi Malaysia dan kesannya tidak seteruk Ribut Tropika Senyar.
Pada sidang media semalam, Mohd Hisham dilaporkan berkata Ribut Tropika Senyar mula memasuki ruang udara negara sejak jam 3 petang dan dijangka mencetuskan hujan lebat berterusan bermula tengah malam.
Beliau berkata antara negeri yang dijangka menerima impak ribut ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang.
Katanya, ribut tropika itu mula memberi kesan di Indonesia sekitar jam 3.30 petang sebelum memasuki Semenanjung dan bergerak menuju Laut China Selatan.
MetMalaysia turut melaporkan ribut itu mendarat di kawasan pantai antara Selangor dan Negeri Sembilan pada jam 12.30 tengah malam dengan kelajuan angin maksimum mencecah 65 km/j.