
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata keputusan mahkamah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak adalah sebahagian daripada proses perundangan negara dan membuktikan kedaulatan undang-undang sedang berjalan di Malaysia.
Beliau berkata rakyat berharap prinsip undang-undang terus dipelihara dan dilaksanakan secara adil, bebas dan berintegriti demi kedaulatan negara.
Mohamad berkata beliau memahami perasaan sedih dan kecewa dalam kalangan ahli serta penyokong Umno susulan keputusan melibatkan pemimpin utama parti itu.
Menurutnya, Umno yang ditubuhkan pada 1946 pernah menerima sokongan penuh rakyat, termasuk sumbangan kewangan bagi perjuangan menuntut kemerdekaan.
Namun, katanya, tempoh pemerintahan yang panjang membawa perubahan realiti politik, termasuk perebutan jawatan, politik wang dan tekanan kuasa, yang akhirnya menyumbang kepada kejatuhan Umno-Barisan Nasional pada 2018.
Mohamad menegaskan penyakit parti pemerintah bukan hanya milik Umno, malah boleh menular kepada mana-mana parti yang memerintah, termasuk Amanah.
Beliau berkata Amanah yang diasaskan pada 2015 dengan perjuangan Islam Rahmatan lil Alamin turut berdepan cabaran apabila berada dalam kerajaan.
Beliau memberi amaran bahawa kegagalan mengurus kewangan, disiplin dan persaingan kuasa boleh membawa kesan lebih buruk kepada parti pemerintah.
Mohamad berkata ujian sebenar bagi parti politik adalah ketika memerintah, apabila godaan kuasa, harta dan pangkat menjadi lebih kuat.
Beliau menyeru ahli agar tidak mencerca Umno yang kini sedang melalui proses pemulihan, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai iktibar.
“Jangan kita menambah luka dengan mengutuk atau menghina parti sahabat dalam Kerajaan Perpaduan. Amanah sebenarnya lebih sukar diuji ketika memerintah berbanding ketika menjadi pembangkang,” tegas beliau.
Beliau berkata tanggungjawab Amanah adalah memperkukuh perpaduan dalaman serta kerjasama dan kepercayaan antara parti dalam Pakatan Harapan dan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.